KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak dalam kes The Wall Street Journal (WSJ) terhadap dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu artikel akhbar itu sebagai menyeleweng.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata artikel WSJ bertarikh 2 Julai lepas langsung tidak menyatakan wang tersebut daripada 1MDB.
Memetik laporan Astro Awani, Hafarizam menjelaskan dua perenggan pertama seolah-olah wang itu daripada 1MDB namun di perenggan kelima dan keenam pula menyebut 'sumber tidak diketahui', dan itu memerlukan penjelasan.
Hafarizam memberitahu Surat Penjelasan yang dihantar kepada penerbit WSJ adalah mengikut prosedur undang-undang.
Katanya penjelasan perlu bagi pihaknya menasihati anak guam mereka sebaik-baiknya.
Peguam itu juga berkata firmanya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan daripada WSJ berhubung pendirian mereka berkaitan dakwaan dalam artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.
Untuk rekod WSJ mempunyai tempoh sehingga 21 Julai untuk memberi jawapan kepada surat berkenaan yang dihantar pada 8 Julai lepas, katanya. -Siakapkeli.my