Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak mengejutkan kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu melanggari keputusan kabinet dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya individu yang layak 'buka mulut' dalam kontroversi berkenaan adalah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
"Dalam Kabinet, kita sudah bersetuju, hanya Husni boleh cakap mengenai 1MDB sehinggalah pasukan petugas khas selesai menjalankan tugasnya," katanya memetik The Malaysian Insider.
Lebih lanjut ujar Nazri, ucapan Muhyiddin pda mesyuarat Umno Bahagian Cheras pada Ahad lalu adalah keterlaluan hingga menyebabkan Muhyiddin digugurkan jawatan dari kabinet.
"Tetapi beliau (Muhyiddin) tidak patuh kepada keputusan Kabinet dan terus melancarkan serangan Ahad lepas ketika mesyuarat Umno Cheras itu,” katanya.
Merujuk kepada barisan kepimpinan kerajaan yang baru, Nazri berkata Ia merupakan prerogatif perdana menteri dan Datuk Seri Najib Razak hanya melantik mereka yang setia kepadanya.
"Masa-masa begini kita tidak boleh ada Kabinet yang berpecah. Perdana menteri lakukan tindakan yang betul dengan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.
"Jelas sekali, beberapa orang menteri yang digugurkan itu, terutamanya daripada Umno, tidak mematuhi arahan dalam kes 1MDB, atau memang masa mereka sudah tiba," katanya. -Siakapkeli.my