Laporan Dari WSJ Dakwa Najib Guna Dana 1MDB Untuk Biaya Kempen PRU13
Satu laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) hari ini mendakwa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib telah menggunakan dana 1MDB untuk membiayai kempen untuk PRU 13.
Laporan itu menyebut bahawa ia dilakukan dengan 1MDB membuat pembelian aset dengan harga yang tinggi dari Genting Group pada tahun 2012. Selepas itu, Genting membuat sumbangan kepada yayasan yang mempunyai kaitan dengan Najib dan dana itu kemudiannya digunakan untuk berkempen.
"1MDB pada Oktober 2012 memperolehi satu unit Genting yang memiliki 75 peratus kepentingan dalam loji janakuasa arang batu 720 megawatt berhampiran Kuala Lumpur," kata laporan itu memetik berita dari MalaysiaKini.
Menurut WSJ lagi, 1MDB membeli aset dari Genting itu dengan nilai kira-kira lima kali ganda nilainya ketika ini.
Laporan itu juga ada menyebut harga pembelian iaitu sebanyak AS$740 juta.
"Beberapa bulan selepas jual-beli itu, satu unit Genting yang dikenali sebagai Genting Plantation Berhad membuat sumbangan kira-kira AS$10 juta kepada sebuah badan amal yang mempunyai kaitan dengan Najib, menurut jurucakap untuk Genting Plantation," dakwa laporan itu lagi.
WSJ juga turut menyebut yayasan yang terbabit adalah Yayasan Rakyat 1Malaysia yang mana pengerusinya adalah Najib Razak, memetik laman web rasmi yayasan tersebut. - Siakapkeli.my
Sumber asal : MalaysiaKini