Biar Ramai Yang Menentang, PAS Tetap Mahu Laksana Hudud Di Kelantan - Hadi
KEPALA BATAS: PAS tidak akan sesekali berganjak dengan pendiriannya untuk melaksanakan hudud di Kelantan meskipun sedar penolakan daripada banyak pihak, tegas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Maka langkah untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan diteruskan sebagaimana yang dirancang sebelum ini.
“Dalam hal ini, Pas mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. Pas tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah… biar dia sahaja yang bersuara, kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak…qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.
“Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,” katanya dalam satu ceramah perdana kepimpinan PAS Pusat di Markas Tarbiyah Pas negeri Pulau Pinang, malam tadi.
Beliau juga mengulangi hakikat bahawa undang-undang hudud tidak bertujuan menyeksa pesalah, sebaliknya memberi mereka pengajaran dan membela pihak yang dizalimi.
“Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.
“Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan kulit,” katanya. -Siakapkeli.my