Menjelang akhir tahun ini, Toyota bersetuju untuk menyediakan salah satu model kenderaannya bagi perkhidmatan Teksi 1 Malaysia (TEKS1M).
Memetik laporan TheSun hari ini, selain Proton Exora, Toyota Innova bakal digunakan oleh pemandu teksi sebagaimana yang disasarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mempunyai sebanyak 7,500 kenderaan TEKS1M hingga akhir tahun ini.
Beberapa siri perbincangan diadakan antara SPAD, Toyota dan Nissan, yang mana ia telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) awal tahun ini juga.
"SPAD dilaporkan kurang berpuas hati dengan langkah perlahan yang diambil Proton dalam mengeluarkan model MPV 1.6 liter, sebagai usaha untuk memperbaharui imej teksi negara. Kerjasama Toyota ini dilihat satu perkara yang dialu-alukan dalam industri," demikian memetik sumber.
Khabarnya Toyota Innova 2.0 liter yang akan disediakan untuk skim TEKS1M ini akan dijual pada harga RM73,228 untuk manual dan RM76,011 untuk automatik.
Namun SPAD masih berunding dengan Toyota untuk mengurangkan harga kenderaan tersebut.
Skim TEKS1M daripada Toyota ini juga bakal dilengkapi beberapa ciri baharu termasuk peranti Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CCTS) dan tangki gas NGV.
Buat masa ini, sebanyak 1,000 Proton Exora untuk TEKS1M telah dibekalkan kepada pemandu teksi di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. - Siakapkeli.my