Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Isu Kebersihan Punca Sijil Halal Secret Recipe Ditarik - Jamil Khir

27 Mei 2015


KUALA LUMPUR: Bukan sahaja penggunaan bahan terlarang, kegagalan mematuhi prosedur kebersihan yang ditetapkan juga menjadi antara aspek penarikan balik sijil halal, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi tumpuan kepada dua elemen utama iaitu halal dan toyyibah.

"Sijil halal Malaysia itu diberi atas dua elemen, yang pertama ialah halal dan yang kedua ialah toyyibah. Toyyibah ini bukannya berdasarkan tiada masalah dengan bahan-bahan terlarangan dalam hukum tetapi toyyibah ini bermaksud ada kaitan dengan GMP (Good Manufacturing Practise), iaitu amalan pengilangan yang baik.

"Jadi amalan pengilangan yang baik termasuk dalam hal menjaga kebersihan semasa pemprosesan produk yang dikeluarkan berlaku, sebab itu sijil kita itu daripada kompaun sampai ke tahap penlabelan, daripada ladang sampailah kepada penyediaan makanan di atas meja," katanya di Parlimen hari ini.

Jamil merujuk kepada penarikan sijil halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.

Sehubungan itu Jamil berkata penarikan sijil halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd adalah disebabkan kegagalan daripada mematuhi proses pengilangan yang bersih.

"Walaupun dia (Secret Recipe) terhindar daripada barang-barangan terlarang, tetapi kalau tempat pemprosesan itu berlaku yang kita tidak yakini dari segi kebersihan, tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, sijil ini boleh ditangguhkan atau ditarik balik sehingga mengikuti semula SOP yang ditetapkan.

"Secret Recipe punya kilang di Taman Mayang, apabila kita lihat dari segi toyyibah, kita buat pemantauan, dia tidak semestinya hanya ada elemen barangan halal sahaja tetapi dari segi kebersihan juga perlu ada," ujarnya.

Jakim baru-baru ini menarik sijil pengesahan halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd disebabkan pelanggaran prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) yang serius.

Bagaimanapun ia bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk itu. -Siakapkeli.my



Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "