Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu menyaksikan pembentukkan baru Kabinet Malaysia di mana-mana ahli politik-ahli politik yang sebelum ini dari blok pembangkang kini menjawat jawatan-jawatan tertinggi kerajaan.
Antara mereka yang bertuah diamanahkan tanggunjawab tersebut adalah Yang Berhormat (YB) Mohamad Sabu mewakili Parti Amanah yang diumumkan akan memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Mei yang lalu.
Beliau tiba di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada pukul 9.30 pagi dan diberi tabik hormat dan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Wisma Pertahanan Kuala Lumpur untuk memulakan tugas hari ini.
Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Affendi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Abd Rahim Mohamad Radzi.
Dalam satu sidang media, beliau turut mengulas mengenai pembaharuan-pembaharuan yang akan dijalankan olehnya di peringkat kementerian.
''Saya akan lihat dahulu taklimat-taklimat yang akan diberikan, sekiranya pengurusan sedia ada telah berada dalam keadaan baik, maka hanya perlu diperbaiki. Kalau ada perkara-perkara baru kita akan bincang, sama ada di pihak Panglima Angkatan Tentera ataupun pihak KSU,'' katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tidak berhajat untuk meperkenal dasar-dasar baru tanpa melalui perbincangan terlebih dahulu.
YB Muhamad Sabu juga turut menyentuh mengenai desakan-desakan yang dibuat oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum ini yang agar siasatan dilakukan terhadap beberapa skandal yang berlaku di dalam kementerian di bawah pentadbiran lama.
''Siasatan itu boleh dibuat dari semasa ke semasa secara dalaman, dan jika didapati ada perkara serius berlaku maka tindakan akan di ambil, tetapi saya sendiri tidak mahu mendengar khabar angin tanpa membuat sebarang siasatan,'' katanya lagi.
Mengulas lebih lanjut, jika audit dalaman tidak berupaya menyelesaikan masalah tersebut, permasalahan tersebut akan dibawa ke peringkat Kabinet.
Berhubung dengan kewujudan Pusat Keamanan Global Raja Salman yang diwujudkan di bawah pentadbiran lama, beliau menjelaskan masa depan institusi tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu.
YB Mat Sabu dalam sidang media yang sama turut berkongsi perasaan hari pertamanya memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan.
''Sudah tentu, sedikit gementar. Anda tahu saya sebelum ini lebih banyak meluangkan masa dengan rakyat, tetapi kini saya perlu mematuhi peraturan-peraturan dan protokol-protokol tertentu, yang mana adalah perkara baru.
''Jadi saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan baru. Namun saya fikir saya tidak akan ubah gaya Mohamad Sabu,'' katanya yang disambut dengan gelak tawa pemberita.
Tahniah YB Mat Sabu dan selamat menjalankan tugas.
Siakapkeli.my