Bayi menangis tak kira masa memang memberi masalah kepada ibu bapa. Tambah-tambah kalau menangis waktu malam. Memang besar cabarannya buat ibu bapa untuk menenangkan mereka kan.
Tambah-tambah kalau itu adalah anak pertama, lagi susah hati dibuatnya. Diangkat tak kena, diletak di bawah pun tak juga berhenti menangis. Kadang-kadang boleh menguji kesabaran jugalah. Tapi jangan lah sampai anda bergaduh dengan pasangan masing-masing okay, apa kata anda cuba sahaja teknik yang dihasilkan oleh seorang pakar pediatrik ini, Dr. Robert Hamilton.
Beliau yang sudah pun berkhidmat lebih daripada 30 tahun telah menghasilkan satu teknik 'memujuk' bayi yang sedang menangis dikenali sebagai ''The Hold". Teknik tersebut yang sememangnya mudah untuk diamalkan oleh ibu bapa melibatkan beberapa langkah iaitu.
1. Angkat bayi anda dan lipat tangan bayi anda dalam posisi memeluk badan.
2. Kemudian letak tangan anda di atas posisi peluk tangan bayi tersebet. Pastikan juga tangan anda turut menyokong bahagian dagu bayi anda.
3. Gunakan tangan dominan anda untuk menyokong bahagian bawah bayi. Pastikan anda membuka tapak tangan anda ketika menyokong bahagian bawah bayi. Elakkan mencekam bahagian tersebut.
4. Posisikan kedudukan bayi anda pada sudut 45 darjah dan kemudian goyangkan bayi anda dengan lembut. Arah goyangan sama ada ke depan atau belakang, atas atau bawah. Kunci utama kepada teknik adalah untuk mendapatkan gerakan yang lembut, bukan goyangan yang kasar.
Menurut beliau lagi, teknik ini amat sesuai untuk bayi yang berusia 2 dan 3 bulan. Bayi yang semakin besar mungkin menyukarkan ibu bapa untuk mengamalkan teknik ini kerana berat bayi yang semakin bertambah.
''Posisi tersebut yang selesa boleh menenangkan mereka kerana ia mengingatkan bayi tersebut kepada posisinya ketika masih di dalam perut'', ujar Dr Robert.
Bagaimanapun ujarnya, teknik ini kurang berkesan pada bayi yang menangis disebabkan sakit ataupun kelaparan.
Sumber : Today
Sumber : Today