23 Feb - `Seorang wanita dari Kuala Pilah berjaya menyelamatkan diri keluar dari kereta apabila diserang seekor kambing jantan di Kampung Gentam, Kuala Pilah.
Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 petang itu, wanita yang mahu dikenali sebagai Mysha, 45. baru pulang dari bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah syarikat swasta di daerah itu dan meletakkan kereta di hadapan rumah.
Menurut beliau, ketika sedang mengambil barang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, dia terdengar bunyi haiwan datang dari arah belakang.
“Apabila menoleh, saya melihat seekor haiwan meluru ke arah saya dan menyangka ia babi hutan menyebabkan saya masuk semula ke dalam kereta sebelum menyedari ia adalah kambing.
“Dalam keadaan panik, saya melompat ke tempat duduk pemandu lalu membuka pintu kereta dan melarikan diri ke dalam rumah.
“Kemudiannya saya melihat kepala kambing itu sudah tersangkut pada stereng kereta,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Tambah Mysha lagi, selepas kejadian itu dia berusaha untuk mengeluarkan kambing berkenaan, namun gagal menyebabkan dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk meminta bantuan.
Dia bersyukur selepas kambing itu berjaya dikeluarkan oleh anggota APM dan tiada kecederaan yang berlaku selain keretanya yang mengalami kerosakan kecil.
Sementara itu, jurucakap APM menerusi kenyataan berkata, seramai tiga orang anggota dikerahkan ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada jam 3.40 petang.
Anggota APM hanya mengambil masa selama 3 minit untuk mengeluarkan kambing dari stereng kereta berkenaan.