Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

''Saya Minta Maaf," Linangan Air Mata Iringi Persaraan Buffon Setelah Itali Gagal Layak Ke Piala Dunia 2018

14 Nov 2017

''Saya minta maaf''

Itulah kata-kata diluahkan oleh lagenda hidup bola sepak Itali, Gianluigi Buffon, 39, dalam keadaan menitiskan air mata ketika mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa. Buffon dan skuad Azzurri tewas di tangan Sweden dengan agregat 0-1 dalam perlawanan play-off bagi merebut tempat di pusingan akhir Piala Dunia Rusia 2018.

Buffon kelihatan sebak ketika ditemubual oleh wartawan setelah menyaksikan negaranya gagal ke Piala Dunia buat kali pertama sejak tahun 1958. Dengan tangannya kelihatan mengelap air mata yang mengalir di pipi, Buffon ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.


''Saya memohon maaf kerana perlawanan terakhir saya berakhir dengan keputusan kami tidak layak ke Piala Dunia.

''Saya tidak memohon maaf untuk diri saya, tetapi untuk seluruh bola sepak Itali.

''Kami gagal ke Piala Dunia yang juga sesuatu yang sangat bermakna dalam kelas sosial.

''Amat kesal untuk menamatkan perjuangan dengan keadaan begini, bukan disebabkan masa yang lalu'', kata Buffon lagi.


Buffon bagaimanapun berpendapat bahawa masa depan Itali masih lagi cerah kerana mereka mempunyai ramai bakat muda yang kini mula mencipta nama dengan kelab masing-masing.

''Sudah tentu bola sepak Itali masih ada masa depan kerana kami mempunyai maruah, kebolehan dan kesungguhan untuk bangkit setelah jatuh. Kami sentiasa mencari jalan untuk berdiri semula.

''Saya meninggalkan skuad yang penuh dengan bakat, temasukalah Gigi Donnarumma dan Mattia Perrin.

''Saya ingin memeluk Chiello, Barza, Leo dan Lele kerana ada bersama saya sepanjang 10 tahun ini'', katanya lagi.


Media Itali ada melaporkan bahawa jurulatih kebangsaan Itali, Gian Piero Ventura telah meletakkan jawatan selepas skuad bimbingannya itu tewas 0-1 kepada Sweden.

''Di dalam bola sepak, anda menang dan kalah sebagai satu pasukan. Anda berkongsi penghargaan dan tanggungjawab.

''Jurulatih juga sebahagian daripada pasukan itu''.

Pengumuman persaraan Buffon ini susulan penyingkiran skuad juara empat kali Piala Dunia itu di daripada kempen Piala Dunia Rusia 2018.

Walaupun mencatat keputusan seri dalam perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri, satu jaringan yang dibawa sebagai bekalan oleh Sweden sudah cukup memastikan tempat Itali di Piala Dunia tertutup rapat dengan kekalahan secara agregat 0-1.


Sweden boleh dikatakan amat bernasib baik kerana Itali ternyata menguasai keseluruhan perlawanan dengan deretan peluang namun dikecewakan oleh benteng pertahanan Sweden yang bertahan dengan baik.

Keputusan jurulatih Itali yang tidak menurunkan bintang penyerang mereka dalam kesebelasan utama, Andrea Belotti dan Stephan El Shaarawy mencetuskan kontroversi namun memberi rahmat kepada Skuad Sweden yang berjaya mengekang asakan pasukan lawan.

Itali kini menyertai skuad Chile dan Belanda menjadi pasukan gergasi bola sepak dunia yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Yang pasti, tiada lagi aksi memukau Buffon menyelamatkan percubaan-percubaan lawan dan persembahan mengagumkan skuad Itali yang terkenal dengan istilah Catenaccio , satu seni pertahanan bola sepak yang sentiasa memukau mata peminat bola sepak untuk Piala Dunia akan datang.



Sumber : The Sun UK, ESPN
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "