Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

"Mama.. Amir Nak Tolong Dia, Kesian Dia Mama, Kesian Dia" Ihsan Anak Ini Melebihi Nilai Gred Yang Diperoleh

25 Nov 2017
4 ulasan

Anak yang dilahirkan adalah anugerah yang terindah. Anak adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka agar menjadi insan yang berguna. Setiap anak yang dilahirkan di atas muka bumi ini telah dibahagi bahagian rezeki mereka masing-masing sejak berusia 4 bulan dalam kandungan ibu.

Keputusan peperiksaan itu hanya penanda aras yang menjadi ukuran pada masa ini. Tetapi setiap dari mereka ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tapi ia juga bergantung bagaimana kita mencorak mereka. Ikuti perkongsian dari Dzul Faa mengenai kisah anaknya yang hanya biasa-biasa dalam pelajaran tetapi miliki sifat suka membantu yang perlu dipuji.


Mahalnya nilai sekeping kertas (UPSR)

Asaalamualaikum

Tak tau nak mula ayat macam mana tapi nak jugak berkongsi cerita lepas.

Seawal pagi saya bersiap ke tempat keja, mengenangkan berkal- kali dipesanan anak ke 2 saya agar tidak lupa ke sekolah hanya untuk ada bersamanya ketika menerima keputusan UPSR. Saya sekadar akur.

Terbayang-bayang akan post-post yang sering di kongsi di laman-laman sosial amanah para ilmuan, saranan kepada para ibu ayah, agar memeluk anak-anak, walau apa pun keputusan yang anak perolehi, dan saya bekali-kali mengingatkan diri sendiri agar tidak lupa melakukan itu.

Dari jauh jelas kelihatan anak saya duduk di kerusi bersama teman-temannya menggosok kedua tapak tangannya berkali-kali lalu menyapu muka, di ulang perbuatan sama beberapa kali, mungkin ketakutan. Dia menoleh mencari saya agaknya, saya melambai tangan isyarat bahawa yes mama datang, saya tersenyum lucu. 

Saatnya satu persatu nama dipanggil ke atas pentas sekolah, menerima slip keputusan masing-masing ada drama suka dan duka, itu mungkin permandangan biasa bagi orang macam saya, namun bila mana nama anak saya disebut, hati saya berdebar-debar pula, dari jauh saya lihat anak saya menerima slip keputusannya sambil mata menjeling sejenak, wajah yang redup sedari semalam semakin suram merenung lantai, langkahnya perlahan. 

Sekeping kertas dihulur, ok saya hanya tersenyum dan ucap tahniah sambil merangkul bahunya (reaksi yang terbawa-bawa di facebook, dalam hati ini hanya Allah yang tahu) tapi bukan itu yang hendak saya kongsikan disini .

Usai majlis penyerahan masing-masing berswafoto, kenangan sebelum meninggalkan sekolah rendah tak kurang waris merakam kenangan gelagat suka suka anak masing-masing. Guru-guru merakam ucapan tahniah dan kata-kata semangat.

Saya..? ( Ah..tidak gemar merakam, berswafoto atau apa-apa yang berkaitan). Saya berjalan pulang, ingin segera kembali ke tempat keja, anak meminta izin untuk pulang bersama-sama saya anggukkan saja sambil menjeling angka jam di tangan, saya melangkah mendahuluinya.

Beberapa langkah diatur, mata saya menangkap satu sosok melintas dihadapan saya sambil menahan tangis teresak esak, mata merah berkaca, tubuh itu mengambil tempat disatu sudut ruang kosong didalam kelas yang tidak berpenghuni, menarik kerusi dan duduk sambil menundukan kepalanya dilengan dan sekali lagi jelas kedengaran dia menangis (dalam hati saya bersangka ah.. mungkin sedih tidak lulus agaknya dia ) 

Saya ingin cepat, maka saya rasakan biarlah sosok itu melepaskan rasa yang membelenggu dengan caranya sendiri, bukan urusan saya pun untuk ambil tahu. Tiba-tiba saya disapa seorang guru bertanyakan keputusan anak saya perolehi dan saya sekadar menjawab "boleh la.. " sekadar senyum. 

Langkah di atur lagi namun kali ini anak saya memanggil dari belakang minta tunggu sebentar gurunya ingin melihat slip keputusannya dan saya akur lagi. ("Dalam hati.. apa yang cikgu tu nak tengok lagi? keputusannya biasa biasa saja kot ").

Sedang saya berdiri di satu laluan di kaki lima sosok yang saya lihat tadi muncul lagi dia melintas dihadapan, saya dapat lihat dia sedang merenung kawan-kawan dari jauh sambil tangan mengesat mata dan jelas itu air mata.



Tanpa sedar anak saya muncul, mungkin dapat dibaca apa yang saya sedang fikirkan. "Kesian dia mama, tak dapat ambil keputusan sebab tak bayar yuran." 

Saat mendengar itu entah apa yang saya rasa, keliru..mana mungkin anak itu dinafikan haknya hanya kerana masalah orang-orang dewasa.

Sebentar tadi saya merasa lega dengan arahan tidak ada majlis untuk meraikan dan pengumuman pelajar-pelajar cemerlang dihadapan semua pelajar lain, kerana tidak mahu ada rasa kecewa dihati ini, tapi diwaktu yang sama dihadapan saya ada satu sosok yang langsung tidak dipanggil namanya naik ke pentas walau hanya sekadar menerima se "SALINAN" keputusan untuk dibawa pulang bagi tatapan ibunya.

"Mama.. Amir nak tolong dia, tapi tak tau nak buat apa ? Kesian dia mama, kesian dia."
Aduh anak oi...mama pun dah cukup gawat ni, mana nak kisah hal anak orang lain pulak lagi. Tapi malu kat anak pulak kalau tak cuba buat sesuatu. 

Saya langsung menghampiri anak itu bilamana dia kembali duduk didalam kelas kosong itu. Saat bahunya dipegang dia menoleh dengan satu pandangan yang sukar untuk saya terjemahkan dengan perkataan, hanya Allah saja yang tahu betapa naluri seorang mak mak ini memahami gelodak hatinya, remuk jiwanya, celaru mindanya.

"Kenapa menangis? Boleh mak cik tolong? ". 

Dia sekadar menggeleng. 

"Dah dapat tahu keputusan? "

Dia menggeleng lagi.

"Jom kita pergi ambik keputusan" 
Saya cuba menarik tangannya tapi dia menolak dengan baik.

"Tak apa mak cik esok mak saya mai ambik". Anak itu bersuara perlahan dan sayu. 

"Jom ikut mak cik jumpa cikgu" (sebenarnya saya dah tak tau nak cakap apa lagi )

Dia geleng lagi "saya tak bayar yuran lagi ." 

Anak itu bersuara dalam esak, air matanya laju ketika menyebut perkataan (tak bayar yuran) itu. Sungguh hati saya sebak melihatnya begitu.

"Tak apa, mak cik bayarkan, jom kita pergi ambik sekarang."
Ini memang betul-betul gila, entah dari mana datangnya kekuatan itu sedangkan dalam poket betul-betul ada RM10 saja (dalam hati mana nak cari duit ni)

"Tak apa la makcik.. banyak" dia menolak lagi. 

"Mama ada duit RM* lebih dak?". Anak saya entah muncul dari mana. 

Saya menarik tangan anak saya dengan isyarat Kita sembang kat luar, nanti budak tu dengar. 
"RM* lebih ?" Saya menelan liur. 

"Ha.. Yuran dia, Amir pergi tanya dah ".

Dia merenung saya minta ihsan, matanya penuh harapan "tolong la ma.. nanti Amir bayar balik." (Dia mempertaruhkan sesuatu yang mungkin mustahil bagi umurnya iaitu bayaran balik.). Tangannya menghulur sekeping wang kertas mungkin kecil nilainya diluar sana. 

"Mana dapat duit?"

"Cikgu bagi sebab sains dapat elok ."

Mulianya hatimu cikgu. Kali ini saya pulak yang panik, bagi saya ibu kepada anak-anak yang masih kecil, jumlah itu agak banyak dan sukar untuk dicari dengan kadar segera. Saya buntu seketika, tapi anak ini tidak boleh dibiar pulang hampa. 

Saya masuk ke kelas semula, Allah, anak itu sudah tiada. Saya fikir dia mendengar perbualan kami, mungkin juga tidak mahu menyusahkan orang lalu dia pergi.

"Mana dia, mana dia?, cari cepat " Saya menjerit pada anak saya.
Tanpa jawapan saya lihat anak saya berlari entah kemana.

Seketika berlaku anak saya muncul dengan seseorang dibelakangnya. Saya menghela nafas lega.
Benarlah Allah itu maha pengasih lagi penyayang disaat kita ingin membantu Allah jua sedang membantu. 

Dengan bantuan dari seorang rakan saya dapat jelaskan bayaran tertunggak (anak) tersebut dan.. ya anak saya lah yang bersungguh-sungguh bantu menguruskan hal-hal itu, saya sekadar memandang dari jauh anak tadi menerima slip keputusannya beserta sijil-sijil berkaitan. Saat dia memegang itu saya telah hilang kawalan air mata, mencurah-curah tanpa berselindung lagi.

Anak tadi menghampiri saya, menghulur salam dan mengucapkan terima kasih, tangannya menghulur slip keputusannya kepada saya entah mengapa dia berbuat demikian.



Saya sambut sekeping kertas itu dan saya lipat.
"Balik tunjuk kat mak, jadi anak yang baik, usaha bersungguh-sungguh". Hati ini ingin sangat melihat apa keputusannya, tapi biarlah penghormatan itu diberikan kepada ibunya. 

Kalau dirakam percakapan kami mungkin orang tak akan faham, kerana saya bercakap dalam nada sendu, buruk bebenar dan aneh bunyinya,tapi anak itu seolah olah mengerti pula.

Hanya sebentar tadi,sekadar permainan psikologi saya mengucapkan tahniah kepada anak saya atas pencapaian UPSRnya tapi saat dia mempamerkan ihsan kepada rakan sebayanya saya jadi kagum dan bersyukur kerana nilai insan yang dimiliki mengatasi nilai gred yang diperolehinya.

Tahniah anakku.

Juga sebentar tadi saya sekadar merangkul bahunya mengucap tahniah, kini ingin sekali saya memeluknya sepenuh hati menyatakan rasa syukur dan terima kasih kerana menyedarkan saya setiap anak ada istimewanya dan nilai yang tersendiri.

Tidaklah saya bercerita untuk bangga diri semata , tidak juga menonjolkan diri sebagai wira, saya manusia biasa yang masih berusaha melakukan 3 hingga 4 kerja sehari, siang malam hanya untuk keluarga saya, saya tidak peduli urusan orang lain dan orang sekeliling, saya merasakan kehidupan saya sudah cukup-cukup sukar, tapi Allah telah perlihatkan masih ada yang lebih sukar. Syukur saya banyak dibantu keluarga.

Hari ini anak kecil ini menjadi teguran buat saya, sebelumnya saya bekerja, berniaga sekadar niat hanya untuk keluarga semata, kini saya akan betulkan kebiasaan itu, pada rezeki saya mungkin ada bahagian orang lain, pada duit saya mungkin ada nama orang lain, pada harta saya mungkin ada hak-hak orang lain. 

Saya menunggu ada untuk memberi sehingga saya lupa kepada yang Maha kuasa memberi. 
Saya mempersiapkan anak-anak sedaya mngkin, namun masih ada anak-anak diluar sana yang tercicir. Jangan lah dikecam anak ini, keluarganya,guru-gurunya mahupun sekolahnya, saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya masalah mereka hingga hal ini berlaku, biarlah kita menjadi sebahagian warga yang membantu tanpa syarat.

Mungkin ada yang tertanya tanya,kenapa tidak anak itu saya ikut pulang untuk melihat keadaan rumahnya dan keluarganya mungkin masih ada yang perlu dibantu. Jujurnya saya baru terfikir akannya setelah sampai di tempat keja dan dalam tempoh itu saya hanya bermain emosi yang tak keruan hingga gagal berfikir dan bertindak ke arah itu.

Terima kasih tak terhingga kepada guru-guru yang mendidik anak saya dan anak itu hingga menjadi seorang insan. Saya hanyalah seorang ibu kepada 8 orang anak yang sibuk berusaha bekerja mencari rezeki, saya percaya sedikit sebanyak nilai-nilai murni itu datangnya dari pendidikan di sekolah.

Apa yang saya kongsikan sekadar hanya untuk peringatan diri sendiri agar lebih mengambil peduli akan warga sekeliling,saya tidak kaya harta, Saya juga dibantu untuk membantu.

Mohon di doakan agar kita semua dimurahkan rezeki agar dapat bantu membantu sesama kita tanpa perlu menunggu para "Gergasi" mainkan peranan.

#Sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang ketika menulis entri ini saya menerima perkhabaran dua anak saya melepasi ujian kelayakan yang sukar dan telah diterima masuk ke sebuah maahad setelah hampir 2 tahun mencuba. Syukur padamu ya Allah, sedikit yang diberi dibayar berganda. Alhamdulillah.

Penilaian saya pada kehidupan kini berbeza. Pengajaran yang saya dapat sangat beharga.
Hingga saat ini,bila ditatap gambar ini, air mata saya mengalir lagi.Sungguh Saya terkesan. 
Sekian sekadar coretan. 

Sumber - Dzul Faa
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 4 ulasan )
  1. F4ns Bett1ng Aman dan terpercaya
    Info lebih lanjut : 5ee80afe :)

    BalasPadam
  2. mari segera bergabung bersama kami di u*p*d*a*t*e*b*e*t*t*i*n*g
    silakan daftar , deposit , mainkan dan menangkan hadiahnya

    BalasPadam
  3. AJOQQ menyediakan permainan poker,domino, bandarq, bandarpoker, aduq, sakong dan capsa :)
    ayo segera bergabung bersama kami dan menangkan uang setiap harinya :)
    AJOQQ juga menyediakan bonus rollingan sebanyak 0.3% dan bonus referal sebanyak 20% :)

    BalasPadam
  4. agen365 menyediakan game : sbobet, ibcbet, casino, togel dll
    ayo segera bergabung bersama kami di agen365*com
    pin bbm :2B389877

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "