''Tidak Mungkin Menang 7-0 Ke Atas Sweden''- Arjen Robben Anggap Belanda Tidak Akan Ke Piala Dunia
Bintang gergasi Bundesliga, Bayern Munich dan tunjang kepada Skuad The Oranje, Arjen Robben mengakui Belanda tidak mampu menyumbat 7 gol ketika bertemu Sweden nanti bagi menghidupkan peluang negaranya ke Piala Dunia Rusia 2018 melalui aksi play-off.
Belanda berjaya menghidupkan sisa-sisa peluang yang ada apabila berjaya mengelak daripada penyingkiran awal setelah membenam cabaran Belarus 3-1, namun keputusan tersebut tidak mampu mengubah nasib mereka untuk mengakhiri Kumpulan A di tempat kedua.
Semuanya gara-gara kejayaan Sweden berkenduri gol ketika bertemu dengan pasukan Luxembourg. Dalam perlwanan tersebut, gawang Luxembourg dirobek 8 kali. Dengan jumlah jaringan yang besar, peluang Belanda untuk memintas kedudukan Sweden ditangga kedua dianggap sudah terkubur menjelang pertemuan kedua-dua pasukan esok.
Arjen Robben yang menjaringkan gol penalti ketika bertemu Belarus, menganggap bahawa finalis Piala Dunia 2010 yang kecundang di tangan skuad Sepanyol itu sudah boleh mengucapkan selamat tinggal untuk saingan di Rusia nanti.
"Hakikatnya amat memeritkan. Tetapi ia adalah sebahagian daripada sukan ini," kata Robben.
"Selepas Sweden melakar kemenangan besar itu, ia seperti menutup peluang kami. Tidak mungkin kami mampu menewaskan Sweden 7-0.
"Selepas mendengarnya (kemenangan Sweden), ia amat mengecewakan kami.
"Pada separuh masa pertama, kami tidak berjaya menghasilkan banyak peluang," katanya lagi.
Walaupun Belanda tidak pernah menjulang Piala Dunia, namun penampilan skuad tersebut di pentas tertinggi sukan bola sepak itu sentiasa mencuri tumpuan. Sukar untuk membayangkan Piala Dunia tanpa Belanda.
Sumber : Stadium Astro