Paul Allen, pengasas bersama Microsoft telah meluangkan masa selama 6 tahun untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan dalam projek membina pesawat gergasi yang berkemampuan untuk melancarkan roket ke angkasa.
Akhirnya, syarikat Stratolaunch System miliknya berjaya membina pesawat tersebut dan buat pertama kali meninggalkan hangar di Padang Pasir Mojave di Amerika Syarikat.
Pesawat gergasi tersebut diberi nama Stratolaunch. Mempunyai panjang sayap ke sayap 385 kaki, yang terpanjang di dunia. Berat tanpa muatan adalah 500 ribu paun namun mampu mengangkat berat maksimun 1.8 juta paun. Dengan jumlat berat yang luar biasa itu, Stratolaunch memerlukan 28 tayar untuk bergerak dan dipacu dengan 6 enjin pesawat 747 bagi mengangkut semua beban tersebut.
Menurut Allen, pesawat tersebut dibina dengan saiz sebegitu bagi membolehkannya berfungsi sebagai pesawat pelancar roket. Berbanding kaedah konvensional iaitu roket dilancar dari pelancar roket di atas tanah, selain memerlukan bahan api yang banyak, Stratolaunch berkemampuan untuk melancarkan roket dengan menerbangkan roket tersebut terlebih dahulu ke udara.
Here's video of the first roll out of the world's largest plane. pic.twitter.com/RJarl0dFRJ— Stratolaunch (@Stratolaunch) June 1, 2017
Stratolaunch sudahpun berjaya mendapat pelanggan pertamanya, sebuah syarikat swasta yang dikenali sebagai Orbital ATK. Syarikat tersebut bercadang untuk menggunakan Stratolaunch bagi melancarkan roket Pegasus XL ke angkasa.
Idea pembinaan Stratolaunch mirip dengan idea pesawat pengembaraan pertama Allen, SpaceShipOne. Dengan pesawat tersebut, Allen dan rakan-rakannya berjaya memenangi Anugerah Ansari X pada tahun 2004, sebuah pertandingan yang diasaskan oleh Yayasan X Prize yang bertujuan membina pesawat angkasa lepas persendirian yang boleh diterbangkan berulang kali. SpaceShipOne juga pernah diguna pakai sebagai asas kepada pembinaan pesawat angkasa Virgin Galactic, sebuah syarikat persendirian milik Richard Branson.
Namun, sebelum Stratolaunch diberi kebenaran untuk menerbangkan roket, pesawat tersebut perlu melalui siri ujian penerbangan terlebih dahulu.
"Ini adalah langkah penting dalam persedian pesawat tersebut untuk ujian di lapangan termasuklah menghidupkan enjin dan paling penting adalah penerbangan pertamanya'', dalam satu kenyataan yang ditulis di laman sesawang syarikat tersebut.
Jika semuanya berjalan lancar, Stratolaunch dilaporkan akan menjalani penerbangan pertamanya pada tahun 2019.
Lakaran 3D termasuk roket pelancaran
Sumber : The Verge, businessinsider