Seorang wanita menanggung kerugian lebih RM 100 000 dalam masa hanya 5 saat sahaja apabila menjadi mangsa ragut ketika sedang menjamu selera di sebuah restoren di Taman Equine, Seri Kembangan, Jumaat lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari tu, mangsa dihampiri secara tiba-tiba oleh seorang suspek lelaki sebelum merampas beg tangan mangsa yang diletakkan di kerusi bersebelahan.
Asisiten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias,, Ketua Polis Daerah Serdang berkata, suspek sebelum itu didapati dilihat keluar dari sebuah kereta di laluan berdekatan premis itu.
“Suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.
“Kejadian ragut itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM117,630.
“Menurut keterangan mangsa, wang berkenaan adalah pinjaman daripada saudara-mara dan milik diri sendiri. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan di sini, sejurus kejadian,” katanya.
Susulan laporan mangsa, pihak polis segera menjalankan siasatan seterusnya berjaya menahan lapan lelaki termasuk dua warga Indonesia bagi membantu siasatan.
“Semua suspek ditahan di sekitar Seri Kembangan, di sini, Isnin lalu.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, enam lelaki tempatan terbabit dilepaskan dengan jaminan polis, manakala dua lelaki warga Indonesia itu direman hingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kejadiaan ragut yang berlaku itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek lelaki tersebut keluar dari sebuah kereta model Perodua Myvi berwarna perak dan merampas beg milik wanita itu.
“Lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam kereta sebelum melarikan diri. Terdapat sebuah lagi kereta jenis sama berwarna kuning kelihatan mengekori kenderaan dinaiki suspek,” katanya.
Sumber : myMetro