Seorang pelajar perubatan berdepan dengan detik cemas kerana hampir kehilangan beg tangannya yang mengandungi tesis yang perlu dihantarnya bagi menamatkan pengajiannya di Universiti Johannesburg apabila sekumpulan lelaki cuba merampas beg tangan pelajar itu.
Noxolo Ntuli, 26, sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya didatangi oleh sekumpulan lelaki yang cuba menarik secara paksa beg tangannya yang mengandungi kunci rumah, lesen memandu, wang tunai dan 'pendrive' penting yang mengandungi tesisnya.
Menurut Ntuli, insiden ini merupakan cubaan rompakan kali kedua yang menimpa dirinya di jalan dan tempat yang sama. Oleh kerana enggan sejarah berulang, wanita ini mengambil keputusan untuk menentang lelaki yang cuba merampas beg miliknya sehingga kumpulan perompak tersebut hanya berjaya melarikan beg bekalan makanannya.
"Saya bermati-matian mempertahankan beg saya kerana di dalamnya ada tesis pengajian sarjana saya yang sudah siap tetapi tidak mempunyai masa untuk menghantarnya.
Tanpa memikirkan risiko bahaya yang bakal menimpa dirinya, Ntuli tetap bertahan memegang beg tangannya sehingga perompak tersebut menyerah kalah dan melarikan diri menaiki sebuah kereta hitam.
Kejadian berikut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah rumah berdekatan tempat kejadian. Ia menunjukan Ntuli tetap memegang beg tangannya dan melawan penjenayah tersebut selama kira-kira satu minit meskipun dia telah ditolak jatuh ke tanah sebelum berjaya melarikan diri.
Bagaimanapun, Ntuli yang cedera di bahagian bahu akibat kejadian itu berasa gembira kerana berjaya mempertahankan beg dan tesis miliknya dari dicuri oleh kumpulan penjenayah tersebut yang dipercayai kini berada didalam tahanan polis.
"Saya gembira kerana mereka telah ditangjap. Saya berharap mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya kerana cuba menculik dan merompak.
"Kemungkinan besar saya akan dimasukkan kedalam kereta dan diculik. Saya harap mereka akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Sumber- Times LIVE