Satu cubaan serangan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf semasa Upacara Penutup Sukan SEA 2017 di Bukit Jalil berjaya ditumpaskan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata kumpulan terbabit juga mahu mencetuskan huru-hara dengan melancarkan serangan semasa Perbarisan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka.
Penahanan lapan individu terdiri dari dua warga Filipina dan enam warga Malaysia berjaya ditahan oleh bahagian counter terrorism cawangan Khas Bukit Aman.
“Suspek pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina, menculik enam tebusan warga Filipina dan penyembelihan seorang tebusan beragama kristian di Selatan Filipina pada tahun 2010,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya lagi, kesemua suspek warga Filipina terbabit menyusup masuk ke negara ini melalui Sabah dan mempunyai kaitan dengan kumpulan 'Kidnap for Ransom'.
Suspek juga pernah bertemu dengan Dr. Mahmud Ahmad serta beberapa lagi warga Malaysia yang menyertai kumpulan Abu Sayyaf sejak 2014 di Basilan.
Menurut Mohamad Fuzi lagi, pihaknya menahan keseluruhan 19 individu membabitkan lapan warga Malaysia dan 11 warga asing sejak 4 Julai lalu disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.
Operasi tangkapan dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.
Pesara guru di Kelantan yang aktif mempromosikan kumpulan Daish melalui dua akaun Facebook miliknya antara yang ditahan.
Penahanan dua beradik warga Iraq masing-masing berusia 41 dan 63 tahun yang bekerja sebagai juruteknik.
Suspek juga dipercayai berperanan sebagai komander kumpulan pengganas Daish di selatan Iraq.
Kesemua 19 individu yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747).