Atlet Negara Kongsi Kesedihan Mengenai Penganjuran F1 Terakhir Oleh Malaysia 1 Oktober Ini
Ternyata berita penganjuran terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah meninggalkan kesan besar kepada peminat tempatan malah turut mempengaruhi barisan atlet ternama negara.
Atlet-atlet negara ini turut berkongsi kesedihan apabila 1 Oktober ini akan menjadi perlumbaan terakhir F1 di SIC.
Namun atlet-atlet ini memahami faktor-faktor yang menyebabkan penganjuran sukan berprestij di negara ini dihentikan.
Azizulhasni Awang yang juga Juara Dunia acara Keirin berkata, penganjuran F1 selama 19 tahun adalah satu kejayaan dan pencapaian yang membanggakan negara.
"Saya percaya ia sudah meninggalkan banyak memori kepada rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan permotoran di negara ini," katanya.
Bagi atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly, dia berharap Malaysia akan kembali menganjurkan sukan permotoran tersebut pada masa depan.
"Sebab jenama F1 sudah meletakkan Malaysia di petak dunia sukan permotoran," katanya.
Pendapat tersebut senada dengan atlet terjun negara, Leong Mun Yee yang meyatakan F1 sudah membawa jenama Malaysia ke seluruh pelusuk dunia.
"Memang agak sedih kerana selepas 19 tahun, ini adalah penganjuran kali terakhir. Harap setiap pemandu dapat memberikan yang terbaik sebagai kenangan paling indah kepada peminat di Malaysia," katanya.
Manakala bagi Nauraj Singh, atlet lompat tinggi yang beraksi di Olimpik Rio tahun lalu berkata, dia sering menyaksikan perlumbaan tersebut ketika masih kanak-kanak.
"Perkara paling menarik adalah ketika upacara penyampaian hadiah.
"Mengenali perlumbaan ini sejak era Michael Schumacher sebagai pemandu paling hebat di abad ini akan kekal dalam ingatan saya," katanya.
Sumber : BH Online