Kes Kematian Pelajar UPNM: "Berat Mata Kita Memandang, Berat Lagi Bahu Mereka Yang Memikul" - Hishammuddin
"Berat mata kita memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul," demikian kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengenai kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, semalam.
Hishamuddin berkata sedemikian di Facebooknya hari ini.
"Tidak terbayang di benak saya keadaan keluarga arwah ketika menerima berita duka ini. Jauh di sudut hati saya berdoa agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT atas kehilangan insan tersayang.
"Berat mata kita memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul." tulis Hishammuddin.
Kata beliau, kes yang menimpa Zulfarhan mengimbau kembali peristiwa pahit ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelajaran pada 2004 dahulu dimana seorang pelajar di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat dibuli.
"Insiden kematian arwah Zulfarhan mengimbau peristiwa pahit ketika saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 2004 dahulu. Ketika itu seorang pelajar di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat dibuli rakan sekolah. Peristiwa itu masih segar di fikiran saya dan memberi kesan yang besar. Kerana selepas kejadian itu, saya dan Kementerian Pelajaran bertungkus-lumus membanteras gejala buli di sekolah.
"Barangkali peristiwa pada tahun 2004 berbeda dengan insiden yang menimpa arwah Zulfarhan. Namun, atas apa jua alasan, siapalah kita untuk mengambil tindakan melampau sehingga mengakibatkan kematian. Saya sama sekali tidak boleh menerimanya." katanya.
Dalam masa yang sama, Hishamuddin juga mengarahkan tindakan lanjut diambil untuk menyiasat kejadian tersebut.
"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia untuk menjalankan siasatan dengan kadar segera bagi mengetahui punca sebenar sekali gus mengenal pasti siapa yang terlibat.
"Saya konsisten sejak dulu bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah dalam kejadian seperti ini. Marilah kita sama-sama doakan semoga roh adik Zulfarhan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang diredhai Allah SWT. Al Fatihah." tulis beliau mengakhiri penulisan tersebut.
Sumber: FB H2O