Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

4 Urusan Berkaitan Deposit Mengikut Jenis Hartanah & Kesan Terhadap Deposit Tersebut Sekiranya Jual Beli Terpaksa Ditamatkan

11 Mei 2017
No Comment
Foto: housemoney

Seperti yang kita tahu, dalam pembelian hartanah, seperti rumah, ia memerlukan kita untuk membayar sejumlah wang, atau deposit mengikut harga rumah tersebut, kebanyakannya adalah sebanyak 10%.

Namun begitu, oleh sebab terdapat pelbagai jenis rumah di luar sana, cara urusan deposit adalah berbeza.

Menerusi perkongsian dari peguam hartanah, iaitu saudara Salkukhairi Abd Sukor, terdapat empat urusan berkaitan deposit jual beli hartanah yang kita perlu tahu.

Mari kita ikuti perkongsian darinya untuk ketahui lebih lanjut.

Foto: homebuyinghelp

4 URUSAN BERKAITAN DEPOSIT JUAL BELI HARTANAH YANG ANDA PERLU TAHU

Urusan pembayaran deposit harga jual beli merupakan perkara penting yang perlu diambil tahu oleh setiap pembeli sesuatu hartanah.

Ianya perlu diberi perhatian yang khusus kerana banyak masalah dan isu yang timbul berkaitan dengan pembayaran deposit tersebut sehingga boleh menyebabkan perbalahan di antara Penjual dan Pembeli.

Berikut di huraikan tentang proses pembayaran deposit harga jual beli mengikut jenis dan kategori urusniaga jual beli yang dimasuki. Dihuraikan juga kesan terhadap pembayaran deposit tersebut sekiranya urusan jual beli sesuatu hartanah itu terpaksa ditamatkan.

1. Rumah Dengan Pemaju

Sekiranya anda membeli rumah melalui pemaju, bayaran Deposit 10% daripada harga jual beli hendaklah di bayar kepada Pemaju pada masa Perjanjian Jual Beli (SNP) ditandatangani.

Di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), pembeli dinasihatkan agar tidak menjelaskan apa-apa bayaran deposit kepada pemaju selagimana SNP belum ditandatangani.

Bahkan di bawah Akta tersebut juga, pemaju tidak dibenarkan meminta apa-apa bayaran daripada pembeli, selagi SNP belum ditandatangani. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang penipuan oleh pemaju terhad pembeli.

Bagi pembeli yang membuat pinjaman kerajaan, mereka boleh minta pertimbangan daripada Pemaju untuk menjelaskan bayaran deposit tersebut berserta dengan tuntutan progres pertama.

Dengan syarat pembeli tersebut layak untuk mendapat pinjaman 100% daripada harga jual beli dan pinjaman tersebut diluluskan oleh pihak kerajaan sebanyak 100%.

Sekiranya pinjaman pembeli tidak diluluskan oleh pembiayaan, Pembeli hanya bertanggungjawab untuk menjelaskan bayaran 1% sahaja daripada harga jual beli rumah tersebut kepada Pemaju dan baki 9% daripada deposit tersebut hendaklah dikembalikan oleh pemaju kepada pembeli.

2. Rumah Sub-Sale/ Kedai

Untuk pembelian rumah sub-sale atau kedai pula, Deposit 10% daripada harga jual beli hendaklah dibayar oleh pembeli kepada Peguam yang dilantik.

Sekiranya pembeli membeli hartanah tersebut melalui ejen hartanah berdaftar, 3% daripada deposit tersebut akan dibayar kepada ejen, manakala 7% lagi akan dibayar kepada Peguam pada masa menandatangani SNP.

Dalam kes hartanah yang tiada sekatan kepentingan, sebaik sahaja bayaran deposit dibuat oleh pembeli kepada Peguam, Peguam akan melepaskan deposit tersebut kepada penjual atau peguam penjual dalam masa 7 hari daripada tarikh SNP ditandatangani.

Tetapi sebaliknya, jika hartanah tersebut tertakluk kepada sekatan kepentingan (consent), peguam hanya akan melepaskan deposit tersebut kepada penjual setelah kebenaran pindah milik diperolehi daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Sama seperti pembelian rumah dengan pemaju, bagi pembeli yang membuat pinjaman kerajaan, mereka boleh meminta pertimbangan daripada penjual untuk menjelaskan bayaran deposit tersebut bersekali dengan baki harga jual beli.

Dengan syarat pembeli layak untuk mendapat pinjaman 100% daripada harga jual beli dan pinjaman tersebut di luluskan oleh pihak kerajaan sebanyak 100%.

Sekiranya pembeli tidak jadi meneruskan urusan jual beli hartanah, atau pinjaman pembeli tidak diluluskan atau pembeli ingkar terhadap mana-mana terma di dalam SNP, deposit tersebut akan dilupuskan oleh penjual.

Sebaliknya, jika penjual pula yang tidak jadi menjual hartanah tersebut, atau sekiranya kebenaran pindah milik hartanah tidak diluluskan atau penjual ingkar terhadap mana- mana terma di dalam SNP, maka deposit tersebut hendaklah dikembalikan oleh penjual kepada pembeli.

3. Rumah Lelong

Untuk pembelian rumah lelong pula, deposit 10% daripada harga rizab lelongan, hendaklah dibayar oleh pembida yang berminat kepada Mahkamah atau Pejabat Tanah (bergantung kepada dimanakah proses lelongan rumah tersebut dijalankan).

Deposit tersebut hanya boleh dibayar menggunakan bank draft sahaja atas nama bank yang melelong.
Pembida tidak perlu risau kerana deposit tersebut akan dikembalikan kepada pembida sekiranya bidaan tersebut tidak berjaya. Sekiranya bidaan berjaya, maka deposit tersebut akan dikira sebagai sebahagian daripada harga jualan terhadap lelongan tersebut.


4. Tanah Lot

Sekiranya seseorang ingin membeli tanah lot, Deposit 10% daripada harga jual beli wajib dibayar kepada Peguam yang telah dilantik. Terdapat dua keadaan berbeza bilakah bayaran deposit tersebut akan dilepaskan kepada penjual.

Sekiranya tanah lot tersebut telah mempunyai geran individu yang berasingan, maka Peguam akan melepaskan deposit tersebut kepada penjual dalam masa 7 hari daripada tarikh kedua-dua belah pihak menandatangani SNP.

Tetapi sebaliknya, sekiranya tanah lot tersebut belum mempunyai geran individu yang berasingan, Peguam akan pegang bayaran deposit tersebut sebagai stakeholder dan hanya akan dilepaskan kepada penjual setelah hakmilik individu tanah lot tersebut diperolehi daripada pejabat tanah.

Sekiranya, hakmilik individu tanah lot tersebut gagal diperolehi oleh penjual dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian, maka deposit tersebut akan dikembalikan oleh peguam kepada pembeli.

Terima kasih,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden HartaGuam

- Siakap Keli

BACA: 5 Kos Ini Yang Anda Perlu Ambil Tahu Sebelum Membuat Keputusan Untuk Membeli Rumah
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "