Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

"Tindakan Tergesa-Gesa Amerika Serang Syria Mungkin Jadi Punca Berlakunya Perang Dunia Ketiga?" Pensyarah Program Sains Politik UKM

8 Apr 2017
One Comment

Isu serangan senjata kimia yang digunakan untuk menyerang wilayah Idlib sehingga membunuh sekurang-kurangnya 80 orang termasuk kanak-kanak di Syria nampaknya semakin panas.

Keadaan ini bertambah buruk selepas Amerika Syarikat telah menyerang hancur beberapa kemudahan tentera seperti lapangan terbang dan kapal perang milik Syria.

Dalam serangan itu, Syria mendakwa sembilan orang awam telah terkorban di mana empat orang daripadanya adalah kanak-kanak.

Tindakan ini telah membuatkan sekutu Syria, iaitu Rusia berang kerana kata mereka serangan berkenaan bakal memberi kesan serius kepada kestabilan serantau dan antarabangsa

Adakah ini tanda bermulanya perang dunia ketiga? jom baca ulasan dari Encik Abdul Muein Abadi yang merupakan Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


SYRIA MEDAN PERANG DUNIA KETIGA?

1. Kenapa AS tergesa-gesa menyerang Syria tanpa menunggu hasil siasatan penuh tragedi senjata kimia oleh badan bebas? Kenapa Trump mungkir janji kempen pilihan raya untuk bekerjasama secara aman dengan Bashar serta Rusia bagi menyelesaikan konflik ini? Adakah serangan Trump ini mengundang tindakbalas yang jauh lebih agresif dari Syria dan Rusia sekali gus menjerumuskan Timur Tengah ke kancah Perang Dunia Ketiga?

2. Pergolakan dalaman di Rumah Putih: Trump awalnya pro-Rusia, lihat sahaja manifesto dan ucapan kempennya ketika menentang Hillary Clinton dahulu. Namun Kemenangan beliau dalam pilihan raya AS mula disiasat kerana disyaki ada campur tangan Kremlin. Penasihat Keselamatan lantikannya Michael Flynn turut letak jawatan kerana mempunyai hubungan dengan Rusia.

Penasihat strategiknya Steve Bannon juga digugurkan daripada Majlis Keselamatan Negara AS. Banyak usaha Trump turut ditekan oleh Kongres dan kehakiman. Kesemua perkembangan terkini politik dalaman AS ini berkemungkinan besar menjelaskan sebab Trump terpaksa bertindak tegas terhadap Rusia dan Syria, berbeza dengan manifesto pilihan raya beliau dahulu.

3. AS melancarkan serangan ke atas Lapangan Tentera Udara Shayrat, Homs milik Syria dengan 59 peluru berpandu Tomahawk dibedil dari dua kapal perang AS di Laut Mediterranean, iaitu USS Ross dan USS Porter. Sasarannya ialah pesawat pejuang, pelindung pesawat pejuang, simpanan logistik dan petroleum, kubu bekalan peluru, sistem pertahanan udara, dan radar. Trump berkata serangan ini untuk ‘mencegahan penyebaran dan penggunaan senjata kimia’. AS memaklumkan bahawa mereka telah memberi amaran kepada Rusia sebelum menyerang, dan mereka mengetahui adanya kehadiran tentera Rusia di kawasan serangan yang mereka sasarkan.



4. Asas serangan AS ialah dakwaan bahawa kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad bertanggunjawab menggunakan senjata kimia gas Sarin di Khan Al Shekhoun. Terdapat saksi yang menuduh pesawat Sukhoi 22 milik kerajaan Syria melancarkan senjata kimia tersebut.

5. Sebaliknya Rusia menuduh senjata kimia itu milik puak pemberontak Syria, kerana ia sama seperti kesan senjata kimia yang digunakan puak pemberontak di Aleppo tahun lalu. Maka Kremlin menegaskan tindakan puak pemberontak Syria yang menyimpan senjata kimia di Idlib yang sepatutnya disiasat dan dipersalahkan. Rusia turut memveto usaha AS, Perancis, dan UK di PBB untuk mengenakan sekatan terbaru ke atas Syria kerana tiada usaha siasatan terperinci oleh badan bebas dilakukan.

6. Penasihat Keselamatan Nasional AS yang baharu, H.R. MacMaster berhujah: ‘serangan udara AS ini memang tidak akan menghapuskan keupayaan Assad untuk melancarkan serangan senjata kimia sekali lagi, namun ia memadai bagi mengubah perkiraan Assad selepas ini’.

7. Pastinya tidak menghairankan apabila antara kumpulan yang menyambut baik serangan udara Trump ke atas Syria ini ialah pemberontak bersenjata Syria seperti Ahrar Al Sham yang ‘mengalu-alukan sebarang campur tangan AS yang boleh mencegah keupayaan rejim Assad’.

8. Dmitry Peskov jurucakap Presiden Putin menegaskan serangan Tomahawk ini memburukkan hubungan AS-Rusia. Serangan tersebut disifatkan sebagai ‘serangan ke atas negara berdaulat dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa’.

Rusia menegaskan bahawa AS ‘mengambil tindakan tanpa berfikir panjang dan akan memburukkan keadaan keselamatan global sedia ada’.

9. Akibatnya, Rusia menggantung perjanjian keselamatan udara Syria dengan AS dan menggesa mesyuarat tergempar diadakan di Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan serangan AS ini.

Rusia menurut Mejar Jeneral Igor Konashenkov juga sudah pun mengambil keputusan memperluaskan penglibatan tentera Rusia di Syria melalui program peningkatan sistem pertahanan udara.Rusia menegaskan AS sebenarnya memang bersedia untuk menyerang Syria sebelum peristiwa senjata kimia di Idlib lagi berdasarkan posisi kapal tentera laut AS berkenaan.

10. Naib utusan Rusia ke PBB, iaitu Vladimir Safronkov pernah beri amaran sebelum ini tentang akibat kemungkinan serangan tentera AS ke atas Syria. Beliau memberi contoh situasi huru-hara anarki di Iraq dan Libya apabila jalan pertumpahan darah diambil mengatasi jalan rundingan telus.

11. Dalam keadaan rejim Bashar mula kukuh susulan kemenangan di Aleppo, serangan Trump ini cukup berpotensi mengisyaratkan kemungkinan AS campur tangan dengan lebih agresif pada masa depan. Sekali gus, rejim Bashar dengan sokongan Rusia (dan juga China) bakal mengatur posisi strategik ketenteraannya ke tahap yang lebih maksimum.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BACA: Terkini: Amerika Lancarkan Peluru Berpandu Serang Syria Sebagai Tindak Balas Isu Senjata Kimia
BACA: Rentetan Terjejas Teruk Akibat Serangan Gas Sarin, Rakyat Syria Perlukan Anda, Dalam Misi Menghantar Sebuah Ambulans Ke Syria

- Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. Pensyarah ni macam sokong Rusia je. X kira samada senjata kimia tu milik Syria atau penentang yg pasti Syria memang patut diajar cara macam tu. Syiah x kan bagi muka orang Islam. Kanak2 dan orang tua sasaran mudah dorang. Serangan US memang berasas. Sepatutnya kita lebih berwaspada apabila berurus niaga dengan Rusia dan Syria selepas ini.

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "