Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui hidup bersama monyet dan tidak mampu berjalan atau bercakap seperti manusia biasa.
Menurut laporan, polis menemui kanak-kanak yang berjalan menggunakan tangan dan kaki itu di satu hutan terpencil di Bahraich, utara India.
Kanak-kanak terbabit kini digelar 'Mowgli girl' kerana kisahnya sangat sama dengan cerita The Jungle Book yang mengisahkan seorang budak lelaki bernama Mowgli.
Pihak berkuasa berkata kanak-kanak terbabit dilihat selesa tinggal bersama monyet di Katarniaghat Wildlife Sanctuary, berdekatan dengan sempadan Nepal.
Mereka masih cuba mencari identiti budak itu dan dari mana dia berasal serta sudah berapa lama dia berada di dalam hutan.
Sub-inspektor Suresh Yadav menemui kanak-kanak itu ketika sedang menjalankan rondaan, lapor Times of India.
Kanak-kanak itu juga telah dibawa ke hospital selepas ditemui dua bulan lalu dan dijaga disana sejak hari itu.
Inspektor Ram Avtar singh dari stesen Motipur, Bahraich berkata: 'Dia takut dengan kami, dia tidak boleh bercakap atau dengar kami dengan elok. Dia ditemani oleh tiga ekor monyet serta mempunyai kesan luka di siku dan lutut.
'Dia juga memakai baju tetapi tidak terlalu kotor, sepertinya dia ditinggalkan oleh keluarga.
'Ketika ditemui, dia kelihatan sangat lapar. Kami berinya sedikit makanan. Jika kami tidak selamatkannya, tentu dia sudah dimakan oleh haiwan liar.' katanya.
Doktor berkata kanak-kanak itu berkelakuan ganas serta tidak memahami mana-mana bahasa. Dia juga dilihat takut kepada manusia serta masih berjalan menggunakan kaki dan tangan biarpun sudah diajar berjalan menggunakan kaki, kata medik.
Menurut Ketua Pegawai Medikal, DK Singh : 'Kanak-kanak itu ditemui dua bulan lalu, makan dan berjalan seperti haiwan, dan lari apabila melihat manusia.
'Dia mempunyai kesan di kulitnya, seperti sudah tinggal bersama haiwan untuk satu jangka yang agak lama. Sekarang, dia sudah sihat dan menunjukkan perubahan positif.' katanya.
Sumber: TOI, The Sun