Buat mereka yang dibesarkan dengan zaman kegemilangan anime-anime dahulu seperti Dragon Ball, Bleach, atau Naruto, sudah pasti mereka tidak terlepas untuk menontonnya. Begitu jugalah anime Naruto yang mana telah sampai ke episode akhirnya.
Menerusi perkongsian dari saudara Zamir Mohyedin yang mana peminat anime Naruto, dia telah kongsikan beberapa tema yang diketengahkan dalam komik Naruto. Yang mana boleh dijadikan sebagai nilai baik untuk diikuti.
Mari kita ikuti perkongsian darinya dalam mengetahui lebih lanjut akan tema yang diketengahkan.
Manga (komik) Naruto sudah habis. Aku tak ingat bila ia tamat, rasa macam baru sahaja. Tahun lepas? Anime Naruto pula baru habis semalam. Aku sempat menontonnya, memang rasa nostalgia betul.
Aku tak ingat dah bila aku mula mengenali Naruto. Tapi memang aku ikuti perkembangannya sejak ia awal-awal ia dicipta. Kenal bukan daripada komik, aku kenal daripada anime dia dulu di TV3. Mungkin lambat sikit aku kenal.
Selepas itu, aku tak ikuti sangat anime dia. Aku beli komiknya sendiri setiap minggu sebab lebih kedepan. Aku simpan duit kot untuk beli komik Naruto!
Tema komik Naruto sangat kuat mengetengahkan beberapa perkara iaitu revolusi, persahabatan dan eksistensial.
Perwatakan Naruto boleh dikatakan sebagai watak yang bodoh. Tak pandai, tak cemerlang dalam ninjutsu mahupun intelektual. Tak cukup dengan itu, dia juga suka buat benda-benda bodoh di masa kecilnya seperti menconteng-conteng tugu Hokage ke-3 untuk mendapatkan perhatian masyarakat.
Ketika melakukan misi pun, dia selalu juga melakukan benda bodoh juga.
Dalam setiap kumpulan yang satu 'batch' dengan Naruto pun akan ada watak-watak ini seperti Rock Lee, Akimichi Chouji, dan Inuzuka Kiba. Malah, dalam kumpulan Minato pun ada watak sebegini iaitu Uchiha Obito.
Perkara yang menarik adalah, kita tak nampak kebodohan mereka. Kalau nampak pun, kebodohan ini seolah-olah tenggelam dan hanyut kerana sifat nekad dan keazaman dalam diri mereka.
Kritikan sosial yang diketengahkan menunjukkan realiti orang yang bermasalah dan bodoh sering dipandang rendah oleh masyarakat seperti mana Naruto pernah disisih kerana masalah sumpahan Kyubi dan ditambah lagi dengan kebodohannya dalam akademi ninja.
Ketika berlakunya 'penindasan halus' ini, terdapat satu hal yang tak terpadam dalam diri Naruto dan orang senasib dengannya iaitu keazaman dan kekuatan untuk berubah.
Naruto berazam untuk menjadi Hokage dan mahu orang kampungnya 'acknowledge' dirinya. Mengakui kewujudannya.
Api keazaman inilah yang membuatkan hal-hal negatif yang dilakukannya tenggelam dan tak dapat 'dicontohi' oleh kanak-kanak yang menonton. Yang menjadi perhatian adalah kekuatan azam itu.
Rock Lee yang langsung tak pandai sering diejek oleh ninja-ninja di sekelilingnya. Lebih teruk lagi sewaktu Might Guy masa kecil, lagi ramai yang memperlekehkannya.
Hal ini bukan benda baru dalam realiti kita yang mana, orang yang tidak mempunyai kemahiran teras seperti pengetahuan IT, kemahiran memandu, tak tahu berurusan dengan Bank akan selalu diejek 'noob'. Kemahiran teras dalam akademi ninja Naruto adalah kemahiran ber'ninjutsu'.
Mungkin ejek-ejek ke orang sebegini kita rasa kecil, tapi kesan psikologinya sangat besar apabila selalu dilakukan dan dicemuh 'itu pun tak reti'.
Might Guy dan Rock Lee mempunyai kekuatan untuk mengubah diri mereka dan membuktikan yang mereka berguna. Mereka mengajar kita, tiada siapa yang dapat mengubah diri kita, melainkan kita kena ubah diri kita dulu.
Apakah revolusi yang mereka bawa?
Revolusi adalah merobohkan idea dan fahaman lama, kemudian membangunkan idea dan fahaman baru. Mungkin mereka tak merevolusi sesuatu yang fizikal seperti undang-undang dan pendidikan. Tetapi mereka merevolusikan jiwa dan persepsi.
Mereka menanam idea supaya orang yang mempunyai kekurangan dan bermasalah patut diterima keadaan itu dan pimpin mereka ke arah yang lebih baik, bukan disisih dan dimain-mainkan.
Persahabatan yang dibawa oleh watak-watak Naruto bukan hanya sekadar tolong-menolong, bukan sekadar beri memberi. Tetapi membumikan sebuah kepercayaan dan harapan.
Tema yang kuat diketengahkan di sini adalah persahabatan antara Naruto dan Sasuke. Naruto dan Sasuke selalu bergaduh. Kita tak nampak Naruto dan Sasuke saling memberikan hadiah, saling meminta nasihat.
Kita tak disajikan sebuah persahabatan yang remeh-remeh.
Apa yang mahu dibawa adalah kepercayaan dalam sebuah persahabatan. Lihatlah bagaimana Naruto masih percaya Sasuke adalah sahabatnya walaupun Sasuke telah mengkhianati kampung.
Lihatlah bagaimana Naruto menanam sebuah harapan bahawa Sasuke mampu kembali ke pangkal jalan walaupun telah jauh tersasar.
Persahabatan yang memimpin sesama mereka menuju ke jalan yang betul. Persahabatan yang menunjukkan mereka apa itu erti harapan sewaktu gundah gulana menempuh malapetaka kehidupan.
Kita tak disajikan persahabatan antara mereka sahaja. Lihatlah persahabatan antara Kakashi dan Obito yang turut membawa kuasa persahabatan yang sama seperti Naruto dan Sasuke. Ada juga persahabatan antara Shikamaru dan Choji. Ino dan Sakura. Hiruzen dan Danzo. Jiraiya dan Orochimaru. Itachi dan Shisui.
Walaupun jalan kehidupan mereka berbeza. Mereka membawa makna persahabatan yang sama. Kepercayaan dan harapan.
Pada waktu Obito tersasar, Kakashi pula cuba memandu semula sahabatnya. Pada waktu Choji tersasar, Shikamaru memandu semula sahabatnya. Saling 'tarik-menarik' supaya tidak jatuh ke lembah kegelapan.
Malah, Konoha sendiri menerapkan satu kepercayaan tidak akan mengkhianati komrad walaupun nyawa tergadai. Betapa kukuhnya nilai kepercayaan dan kesetiaan yang tertanam.
Eksistensial ini adalah idea mencari makna kehidupan. Mencari makna yang dibawa dalam Naruto sangat tertekan.
Ia sukar untuk dicari kerana idea ini selalu diketengahkan oleh watak-watak yang mempunyai masa silam yang tragis.
Kakashi berdepan dengan kematian ayahnya yang membunuh diri memikirkan apakah yang makna hidup yang lebih penting antara persahabatan dan kepentingan misi.
Itachi berdepan dengan konflik apakah yang patut dia pilih untuk dirinya. Kepentingan kampung ataupun kepentingan keluarga?
Shikamaru sendiri bergelut dengan sifat semulajadi dirinya yang mahu menjadi normal dan biasa-biasa, tetapi terikat dalam kedudukan yang menjadi orang penting kerana kebijaksanaannya.
Neji tetap akan pendiriannya dengan maksud eksistensial sudah tidak perlu lagi kerana ia telah pun ditetapkan. Yang hebat akan terus hebat. Yang lemah akan terus lemah.
Watak-watak yang bergelut dengan eksistensial ini, akan ada watak penyokong yang memastikan mereka terus lurus dalam memilih jalan kehidupan mereka.
Watak-watak ini adalah watak harapan seperti Naruto, Shisu, Obito, dan Rock Lee. Mereka tidak bergelut dengan masalah ini walaupun mempunyai masa silam yang tragis.
Mereka berpendirian, dunia mempunyai harapan dan keadaannya boleh jadi baik dan aman, yang mana setiap individu mempunyai ketenangan mereka yang tersendiri.
Naruto memberikan panduan kepada Neji dan Sasuke. Obito memberikan petunjuk kepada Kakashi yang akhirnya mereka menemui jawapan kewujudan mereka.
Setiap orang mempunyai pergelutan ini. Mencari makna dan arah tuju hidup yang dipengaruhi oleh pengalaman lepas dan suasana sekeliling. Dalam mencari itu, kita akan jumpa orang yang akan memberikan pencerahan kepada kita tanpa dia tentukan ke mana harus kita tuju.
Ini merupakan tema utama yang diketengahkan. Dalam setiap watak-watak Naruto, pelbagai perkara yang kita boleh daripada mereka.
Kegigihan mengejar matlamat. Kepercayaan kepada sahabat. Kecintaan pada negara. Pengorbanan dalam persahabatan. Kepentingan menyelesaikan misi. Ikatan kekeluargaan dan didikan guru kepada murid.
Aku pernah kupas beberapa watak dalam Naruto. Tentang ideologi dan falsafah yang mereka bawa. Boleh lihat album.
Terima kasih, Naruto. Terima kasih, Masashi Kishimoto.
Tidak dinafikan setiap cerita ada sisi baik dan buruknya, tapi jika terdapat unsur, atau nilai-nilai yang baik apa salahnya dijadikan sebagai ikutan, yang buruk dijadikan sempadan. Tiada niat untuk memberi ‘anugerah’ buat anime ini, hanya sekadar berkongsi apa yang baik sahaja. - Siakap Keli