Kebiasaannya, ‘chicken pox’ terjadi sewaktu kita di peringkat kanak-kanak, dan ia sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian, yang mana tidak boleh bermain, terasa gatal-gatal, dan tidak selesa, serta akan menyebabkan parut pada kulit.
Selain pengambilan ubat-ubatan, penjagaan pemakanan juga harus dititikberatkan, agar ‘chicken pox’ dapat dikurangkan, juga tidak menjadi semakin serius. Namun pemakanan yang bagaimanakah sesuai untuk dimakan, lebih-lebih lagi buat kanak-kanak yang suka memilih makanan? Menurut perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad, terdapat beberapa makanan yang boleh diberi, dan yang perlu dielakkan untuk mereka yang terkena ‘chicken pox’ ini.
Mari kita ikuti penjelasan lebih lanjut darinya.
Chicken Pox atau dikenali sebagai penyakit cacar air (kerana ia menyebabkan gelembung air pada kulit) merupakan penyakit kanak-kanak yang disebabkan oleh virus varicella.
Ia akan menyebabkan ruam pada badan, kulit akan menjadi seperti melepuh dan kemerah-merahan. Selepas beberapa hari, ruam mula kering dan mengeras. Pada tahap ini, ia mungkin akan menyebabkan kegatalan.
Ruam akibat cacar air ini boleh berlaku pada mana-mana anggota badan, termasuklah di dalam mulut dan menyebabkan luka pada mukosa mulut. Oleh itu pesakit yang mengalami cacar air harus meminum air secukupnya dan kekal terhidrat, mengambil makanan yang berkhasiat supaya tubuh cepat sembuh dan pulih dari serangan virus.
Kanak-kank yang mengalami luka di dalam mulut akibat cacar air perlu mengambil makanan yang lembut dan tidak perlu dikunyah, supaya ia tidak membuatkan keadaan ruam di dalam mulut bertambah teruk. Antara contoh makanan yang lembut ialah kentang lenyek, sup hirisan ayam. Elakkan mengambil makanan yang diproses dan makanan ringan (jajan) yang tidak mempunyai banyak nutrisi. Garam yang berlebihan dalam makanan ringan dan jajan ini akan menyebabkan luka dalam mulut bertambah parah.
Selain daripada masalah luka dalam mulut, jangkitan virus yang menyebabkan demam, akan menyebabkan kanak-kanak mengalami selera makan yang berkurangan. Oleh kerana jumlah makanan yang dimakan berkurangan, pastikan setiap hidangan yang diambil mengandungi nutrisi yang secukupnya.
Jika kanak-kanak iti tidak mampu menelan makanan separuh pepejal, galakkan dia mengambil banyak makanan yang berbentuk sup atau sekurang-kurangnya minum air suam secukupnya. Makanan sejuk juga membantu melegakan kesakitan. Makanan seperti yogurt sejuk dan minuman sejuk, seperti jus buah membantu memberi kelegaan pada mulut dan tekak.
Elakkan mengambil buah yang berasid seperti oren dan anggur, kerana boleh menyebabkan luka dalam mulut menjadi lebih pedih dan sakit. Buah-buahan ini boleh disejukkan dicampur dengan susu atau yogurt dan ais untuk mendapatkan minuman yang tinggi nutrisi dan sedap.
Kanak-kanak yang mengalami cacar air perlu memastikan pengambilan air yang cukup. 8 gelas air sehari, termasuklah, air kosong, jus, atau air berperisa. Elakkkan air bikarbonat yang akan menyebabkan kesakitan pada luka dalam mulut.
Elakkan makanan yang pedas dan panas. Makanan yang rangup seperti kerepek dan keropok perlu dihindar.
Secara saintifiknya, makanan seperti kicap, telur dan daging ayam tidak mengganggu proses penyembuhan. Namun jika terdapat bukti seseorang itu akan mengalami kegatalan terhadap sesuatu makanan, ia harus dielakkan bagi mengelakkan ketidakselesaan akibat kegatalan yang secara tidak langsung akan melambatkan proses penyembuhan.
Andai kata pesakit cacar air tidak boleh makan atau minum akibat luka dalam mulut yang terlalu teruk, dapatkan nasihat doktor. Pesakit seperti ini mungkin perlu dimasukkan ke dalam wad untuk diberikan IV daripada akan kekal hidrasinya. Cacar air jarang menyebabkan komplikasi, kecuali individu yang mengalami risiko sistem imunisasi yang lemah seperti pesakit diabetes, pesakit kanser atau pesakit yang mengambil rawatan steroid.
Wallahu a’lam.
- Siakap Keli
BACA: Ibu Ini Kongsi Petua Bagaimana Untuk Hilangkan Batuk Anak Kecil Dengan Menggunakan Buah Delima