Bila sudah tidak tahan dengan pening kepala tersebut, anda mungkin akan berjumpa dengan doktor, dan ingin mendapatkan rawatan susulan.
Namun, apabila ingin menyatakan sakit yang anda alami, sebenarnya terdapat maksud yang berbeza mengikut pemahaman doktor, dari segi medikal akan penggunaan istilah sakit kepala, dan pening kepala. Untuk ketahui apa yang dimaksudkan, mari kita ikuti perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad dengan lebih lanjut.
Ramai orang yang sering menggunakan perkataan pening apabila mengalami rasa tidak selesa pada bahagian kepala. Kadang kala istilah itu mengelirukan, bukan saja doktor yang merawat tetapi juga orang yang mendengar.
Sebagai contoh ramai yang mengatakan bahawa mereka pening apabila mereka sebenarnya sakit kepala. “Saya peninglah melihat telatah awak” Apa yang cuba dimaksudkan ialah sakit kepala melihat telatah kawan dia yang mungkin menyakitkan hatinya.
Ada juga yang menggunakan istilah pening apabila rasa seperti mahu pitam kerana tiba-tiba rasa kepalanya ringgan atau rasa dirinya mahu terbang dari atas tanah. Seolah-olah beliau rasa ditarik ke atas udara secara tiba-tiba. Pesakit ini mungkin rasa tidak stabil dan mahu jatuh. Sebenarnya beliau lebih rasa tidak seimbang lalu mahu jatuh. Ini adalah tanda yang lebih bahaya.
Rasa pening juga boleh terjadi apabila seseorang itu bernafas terlalu laju, atau kita sebut sebagai "hyperventilation". Selalunya ia disebabkan oleh perasaan terlalu risau. Ini berlaku apabila terlalu banyak oksigen sementara terlalu sedikit kepekatan karbon dioksida yang sampai sampai ke dalam otak. Perlu ada keseimbangan antara kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang kita hirup dari udara.
Jadi sangat penting bagi seorang doktor mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar ‘pening’ atau mengalami masalah lain seolah-olah pening. Ini kerana punca, pemeriksaan dan rawatan bagi pening berbeza dengan masalah yang lain.
Tetapi apabila selalunya jika seseorang pesakit mengadu pening, selalunya ia merujuk kepada masalah vertigo. Namun sebagai doktor harus memastikan perkara ini dengan bertanyakan beberapa soalan.
Antara soalan yang biasa saya tanyakan kepada pesakit saya ialah “Puan rasa seluruh bilik ini berpusing atau puan rasa sakit kepala seperti berdenyut-denyut?” Ini dapat membezakan antara dua simtom atau gejala yang berbeza.
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.
- Siakap Keli