Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Buat Sukarelawan Banjir Fasiliti Kesihatan, Maklumat Ini Perlu Diketahui Oleh Anda Ketika Menjalankan Tugas

10 Jan 2017
No Comment

Pada musim hujan ini, banyak tempat dinaiki air, dan ramai di antara mangsa banjir yang berdepan dengan situasi di mana perlu dipindahkan ke pusat penempatan banjir, tidak kurang juga beberapa sekolah khususnya di pantai timur, yang perlu ditutup berikutan dinaiki air.

Bukan itu sahaja, situasi ini akan berterusan bila mana, banjir mula surut, dan penduduk yang terjejas akan mula untuk pulang ke kediaman, serta memulakan kerja pembersihan. Ia turut berlaku kepada klinik kesihatan, klinik desa, atau hospital daerah, dan perlu dibersihkan segera untuk kembali beroperasi seperti sedia kala.

Namun, untuk pusat kesihatan seperti itu, proses pembersihan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana menurut Pegawai Farmasi, Dziehan Mustapa, terdapat beberapa faktor keselamatan yang perlu diambil serius oleh para sukarelawan jika membersihkan kawasan tersebut, berdasarkan pengalamannya ketika membersihkan Hospital Kuala Krai, pada tahun 2014 dahulu.

Mari kita ikuti secara mendalam apa yang perlu dititikberatkan itu.


GOTONG-ROYONG : Bersihkan Fasiliti Kesihatan Selepas Banjir, Sedikit Informasi Buat Para Sukarelawan

Semasa banjir, pasti akan ada fasiliti kesihatan yang turut sama terjejas akibat banjir. Sudah pasti juga selepas banjir akan ada individu atau kumpulan-kumpulan sukarelawan yang turun ke kawasan yang dilanda banjir untuk membantu proses pembersihan atau gotong royong.

Selain daripada sekolah, fasiliti kesihatan tidak ketinggalan menjadi lokasi pilihan bagi kumpulan sukarelawan ini untuk menghulurkan tangan meringankan beban anggota kesihatan untuk membersihkan klinik kesihatan, klinik desa, hospital daerah, stor ubat-ubatan dan sebagainya.

Namun sebenarnya ada risikonya dalam membersihkan fasiliti kesihatan jika tidak dilakukan dengan betul dan tidak mempunyai kelengkapan diri yang lengkap. Antara risikonya adalah:

1. Terpijak kaca daripada ubat dalam bentuk vial dan ampule 

2. Tertusuk jarum daripada ‘sharp bin’

Pasti ada yang tertanya-tanya ‘sharp bin’ itu apa?

Sharp bin ini adalah sebuah bekas/tong yang diletakkan selalunya di bilik rawatan di mana semua jarum yang telah digunakan serta vial dan ampule ubat yang telah digunakan akan dibuang ke dalam tong ini. Tong ini selalunya berwarna kuning.
Mungkin semasa banjir, tong ini tidak sempat diletakkan ditempat yang tinggi. Maka dengan arus air banjir tong ‘sharp bin’ ini mungkin akan terjatuh dan hanyut keseluruh kawasan klinik (mengikut arus air). Sudah pasti isinya juga akan terkeluar dan berselerak di dalam air atau lumpur banjir di seluruh kawasan klinik tersebut.

Di sinilah yang saya maksudkan dengan risiko terpijak kaca dan tertusuk jarum boleh berlaku kepada anggota sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan dalam kerja-kerja pembersihan klinik.

Selepas banjir selalunya akan terdapat lumpur yang tebal. Terpijak kaca mungkin cuma akan menyebabkan luka sahaja, namun tertusuk jarum itu tinggi risikonya kerana jarum tersebut adalah jarum yang telah terpakai. Maka risiko penyakit berjangkit boleh berlaku akibat tusukan jarum tersebut.

3. Terluka akibat terpijak alatan perubatan yang tajam

Dalam bilik rawatan akan ada pelbagai alatan perubatan seperti pisau dan gunting. Dalam keadaan banjir yang besar sehingga menenggelamkan keseluruhan klinik atau fasiliti kesihatan, mungkin rak-rak yang menempatkan ubat atau alat-alatan dan meja di dalam bilik rawatan akan terjatuh dan bergerak hanyut mengikut arus banjir.

Sudah pasti juga alatan-alatan perubatan akan terjatuh ke lantai di sekitar bilik rawatan. Sekali lagi selepas banjir, lumpur tebal dan alat-alat perubatan yang tajam ini akan terbenam di dalam lumpur serta tidak kelihatan oleh mata kasar. Maka risiko terpijak atau terlanggar alat-alat tajam di dalam lumpur ini boleh berlaku semasa proses pembersihan atau gotong royong dilakukan.

4. Terserempak dengan ular di dalam gelap

Semasa banjir, bekalan elektrik akan diputuskan atas faktor keselamatan. Justeru ruang di dalam klinik, bilik rawatan, stor ubat dan sebagainya akan menjadi gelap gelita. semasa banjir juga haiwan seperti ular akan mencari kawasan untuk ia menyorok. Oleh itu tidak mustahil kawasan gelap akan menjadi pilihan haiwan berbisa ini untuk berselindung semasa banjir.

Justeru ada kebarangkalian semasa aktiviti pembersihan atau gotong royong, akan terserempak dengan haiwan berbisa ini malah boleh memberi ancaman kepada para sukarelawan.

Apa Yang Perlu Dilakukan?

Perkara-perkara yang dicadangkan untuk mengelakkan risiko tidak diingini berlaku semasa aktiviti gotong royong membersihkan fasiliti kesihatan

1. Pastikan mempunyai kelengkapan diri yang cukup untuk aktiviti gotong royong membersihkan fasiliti kesihatan

• Pastikan ada kasut ‘boot’ getah bersarung penuh (kasut Pua Chu Kang)
• Pastikan bersarung tangan getah
• Digalakkan berpakaian lengkap dan sesuai untuk bergotong royong seperti seluar panjang dan baju yang bersesuaian (elakkan tidak berbaju untuk menunjukkan ke ‘sado’ an anda)
• Ada alatan sesuai untuk bergotong royong seperti, penyapu, penyodok, pengangkut/kereta sorong, pencakar, mop, water jet jika ada dan lampu suluh/head lamp.
• Pastikan juga memakai ‘face mask’.

2. Laporkan kepada pihak bertanggungjawab

Sekiranya kawasan yang perlu dibersihkan tidak selamat, laporkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang lebih berpengalaman dan profesional seperti pihak bomba. (Contoh : Kalau ternampak ada haiwan berbisa)

3. Sekiranya semuanya selamat

Sebelum memulakan aktiviti gotong royong pastikan ada wakil klinik bersama-sama (Jururawat yang menjaga klinik contohnya) dan menerima arahan daripada mereka dalam aktiviti pembersihan. 

Wakil klinik lebih tahu berkaitan klinik mereka dan alat-alatan yang ada serta memberi nasihat berkaitan barang apa yang boleh dibuang dan barang apa yang perlu dikumpulkan untuk dibersihkan. Bukan semua barang perlu dibuang selepas tenggelam di dalam air.

4. Sukarelawan Yang Berpakaian Lengkap 

Hanya anggota yang lengkap berkasut ‘boot’ getah dan bersarung tangan sahaja yang boleh masuk ke dalam klinik yang berlumpur untuk aktiviti pembersihan. Anggota sukarelawan yang tidak lengkap alatan keselamatan diri diminta bertugas di luar klinik seperti menyusun atur barang-barang yang dibawa keluar untuk proses pembersihan.

5. Pengcahayaan Yang Mencukupi 

Berikan pencahayaan terlebih dahulu di dalam klinik atau mana-mana bilik di dalam klinik dengan membuka tingkap dan langsir agar kawasan tidak gelap. Namun harus sentisa berhati-hati dengan kehadiran haiwan berbisa.

6. 'Sharp Bin'

Cari ‘sharp bin’ dan pastikan sama ada isinya masih ada di dalam atau telah terkeluar jatuh di dalam lumpur. Oleh itu perlu sangat berhati-hati semasa berjalan dalam lumpur dan membersihkan lumpur keluar daripada klinik.

7. Terluka

Sekiranya anda terluka, atau terpijak sesuatu, kenalpasti apakah benda yang anda pijak dan laporkan kepada wakil klinik (Cth: Jururawat) agar bantuan serta rawatan yang sepatutnya diberikan kepada anda.

8. Melupuskan Barang

Sebelum melupuskan apa jua barang termasuk dokumentasi, ubat atau peralatan perubatan, semak dahulu dengan wakil klinik yang bertanggungjawab sekiranya barang tersebut masih boleh diguna pakai dan juga untuk tujuan simpanan rekod.

9. Bersihkan Diri

Besihkan diri sebaik sahaja selesai bergotong-royong bagi mengelakkan penyebaran sebarang jangkitan

Semua cadangan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan sebagai sukarelawan farmasi semasa banjir di Kelantan hujung tahun 2014.

Satu pengalaman yang sangat berguna buat saya dan saya ingin kongsikan bersama-sama netizen dan sukarelawan yang ikhlas ingin menghulurkan bantuan agar keselamatan dan kesihatan diri anda sentiasa terjaga.

Moga informasi ini bermanfaat buat semua para sukarelawan. Keselamatan diri harus diutamakan pada setiap masa

Disediakan Oleh
Mohd Dziehan Mustapa
Pegawai Farmasi


Begini lah rupanya selepas banjir. Saudara Ammar Kamar yang merupakan antara sukarelawan awal tiba di Hospital Kuala Krai untuk membantu di sana.



Pastikan kelengkapan diri cukup. Ada booth getah dan sarung tangan


Saudara Fahmi Hassan berehat sebentar setelah berpenat lelah membersihkan stor ubat-ubatan di Hospital Kuala Krai.


Buka tingkap dan langsir agar dapat mencahayai bilik atau ruang, agar kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan. Selain daripada itu jika ada haiwan berbisa senang kelihatan. Elakkan buat kerja dalam gelap.


Pelbagai sampah dan bahan-bahan tajam akan ada dalam lumpur. Gunakan alatan yang sesuai untuk bergotong royong

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "