Bagi ibu bapa, perkara sebegini amat merisaukan, dan sudah pasti mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga supaya kanak-kanak akan terhindar dari tercedera, tetapi, mungkin cara yang dilakukan, ada kekurangannya.
Oleh itu, bagi memastikan kank-kanak dijauhkan dari perkara tidak diingini, dan berada dalam ruangan yang selamat, saudari Nur Nabiila Masfuzah kongsikan jenis-jenis kecederaan yang boleh dialami oleh kanak-kanak, serta cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya. Jom kita baca perkongsiannya.
Kecederaan di kalangan kanak-kanak kadangkala terlalu membimbangkan ibu bapa malahan, terkadang kecederaan itu berlaku tanpa disangka-sangka. Disini, saya akan membincangkan tentang jenis kecederaan yang kebiasaannya berlaku kepada kanak-kanak
Kanak-kanak sering berminat dengan benda yang baru dikenalinya terutama benda yang berwarna warni yang tidak diketahui bahayanya. Pada mereka; semua benda adalah permainan tanpa mengetahui bahayanya kepada diri mereka sendiri.
Kecederaan di kalangan kanak-kanak di rumah boleh dielakkan jika ibu bapa dan semua ahli keluarga mematuhi atau mengamalkan beberapa langkah keselamatan supaya kecederaan kepada mereka mampu dicegah.
Biasa terjadi akibat benda tajam seperti kaca pecah, tin, pisau, jarum peniti, paku, gunting atau keronsang si ibu.
✅ Bahan-bahan tajam seperti alat dapur (pisau, parang, dll) perlu diletakkan pada ketinggian yang sukar digapai oleh anak-anak.
✅ Alat-alat jahitan, gunting, pin tudung, keronsang pula perlulah diletakkan didalam bilik dan tidak mampu dicapai oleh anak-anak seperti slot atas sekali meja solek, atau di sangkut pada rak penyimpan.
✅ Alat-alat pembaiki seperti screw driver, wire cutter pula perlu disimpan di dalam kotak khas bagi peralatan tersebut(tool box) di kunci atau disimpan di atas rak tinggi atau laci berkunci.
✅ Kaca pecah, tin yang tajam seelok-eloknya di balut dengan surat khabar/kertas tebal/plastik sebelum dibuang. Elakkan dibuang merata-rata terutama di kawasan permainan kanak-kanak, ini bagi mengelakkan kanak-kanak bermain atau terkena benda-benda tajam ini.
✅ Perabot di rumah pula sebaik-baiknya tidak mempunyai bucu tajam, kaca yang mudah pecah atau reka bentuk yang boleh mencederakan.
✅ Kipas meja mesti diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak. Bahagian bergerak seperti ini kerap menarik perhatian mereka tetapi boleh mencederakan jikalau disentuh.
✅ Kerosakan seperti di lantai, pintu, tingkap dan sebagainya perlu dibaiki dengan segera dan sempurna supaya si anak yang tidak menyedari atau memahaminya tidak tercedera akibat terjatuh, terhantuk atau terluka disebabkan bahagian yang rosak.
Hampir semua kanak-kanak yang normal akan terjatuh di suatu masa dalam pembesarannya. Namun, sebahagian kecil daripada kejadian ini boleh mengakibatkan kecederaan yang serius atau parah. Antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan perkara demikian dari berlaku adalah;
✔ Meletakkan perabut yang mudah dipanjat seperti kerusi, bangku, tangga kecil di tempat selamat. Kanak-kanak memanjat sebagai salah satu aktiviti pembesaran, tetapi jikalau terjatuh, kecederaan dapat diminimumkan.
✔ Kemungkinan terjatuh melalui tingkap terutama bagi rumah bertingkat/pangsa/teres dapat dielakkan samaada dengan memasang gril atau meletakkan kerusi serta meja jauh daripada tingkap.
✔ Pasangkan cot pada katil bagi kanak-kana yang tidur di tempat tidur sendiri atau katil berpalang terutama pada katil dua tingkat supaya anak-anak tidak terjatuh.
✔ Pasangkan palang/pagar pada anak tangga (bagi rumah jenis bertingkat) bagi mengelakkan anak-anak memanjat naik/memanjat turun semasa bermain dan boleh menyebabkan mereka terjatuh.
✔ Anak kecil tidak sepatutnya dibiarkan bermain bersendiri di luar pandangan orang dewasa. Bagi yang menggunakan alat bantuan berjalan (baby walker), pastikan ia jenis stabil, yang tidak boleh terbalik serta dibiarkan di tepi anak tangga.
✔ Mengguna buaian memang memudahkan bagi ibu bapa dan selesa bagi si anak kecil. Namun, pastikan ia tidak digantung dari cangkuk atau palang yang tidak kukuh ataupun jenis buaian yang beroda yang boleh tumbang apabila anak melasak di dalamnya.
** Bagi anak yang aktif atau lasak, tidur di dalam buaian seelok-eloknya dielakkan.
✔ Lantai yang basah akibat cecair tumpah seperti sabun/minyak, perlu dikeringkan segera supaya mereka tidak tergelincir. Yang licin digilap seperti marmar pula sebaik-baiknya dibentangkan tikar atau permaidani.
✔ Elakkan tidur bersama anak-anak di atas katil yang tinggi kerana dikhuatiri kita tanpa sedar telah tertolak anak kita semasa tidur lalu anak jatuh ke lantai. Jika boleh, sediakan alas lantai seperti carpet yang tebal bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada anak.
Bahan-bahan yang panas, berhaba atau menggunakan gas adalah yang sering kita gunakan dirumah.
Kecuaian perlu dielakkan dan langkah-langkah keselamatan berikut perlu diamati agar kecederaan kanak-kanak dapat dihalang.
Kanak-kanak harus dilarang daripada bermain di dapur ketika kita memasak atau berdekatan meja seterika ketika kita menggosok baju. Jika boleh, pasangkan pagar di antara ruang depan dan dapur serta kunci pagar tersebut apabila kita memasak.
Elakkan wayar sterika dari tersangkut dan mudah digapai oleh anak kita supaya mereka tidak menariknya dan boleh mencederakan mereka.
Bahan-bahan panas seperti makanan yang baru di masak, periuk, kuali, cerek dan seterika mesti diletakkan di tempat tinggi dan selamat supaya tidak mudah dicapai.
Bagi mengelakkan kemungkinan ini lagi, pemegang periuk panas perlu diletakkan ke dalam dan tidak mengarah keluar, alas meja yang ada makanan panas tidak terlalu mudah ditarik oleh anak-anak lalu menyebabkan makanan panas menimpa mereka lalu menyebabkan lecur.
Apabila menyuapkan anak dengan makanan panas atau memandikannya dengan air panas, rasa dahulu suhu agar tidak terlalu panas dan boleh melecurkan. (Rasa suhu air panas menggunakan siku kerana kawasan tersebut mempunyai deria rasa yang sensitif)
Bahan terbakar seperti mancis, pemasang api, minyak, dan sebagainya mesti disimpan di tempat yang selamat. Penggunaan bahan-bahan ini hanya sepatutnya dilakukan oleh orang dewasa dan segala risiko bahaya mesti diterangkan kepada anak-anak.
Banyak bahan berguna di rumah boleh menjadi bahan bahaya jikalau tersalah guna oleh kanak-kanak. Oleh kerana kesan bahaya lemas dan tercekik boleh membawa padah yang buruk dalam masa yang singkat, adalah wajar jika segala langkah diambil bagi mengelakkan tragedi.
Sebaik-baiknya elak dari memakaikan anak-anak seperti rantai leher emas, atau tangkal dan sebagainya. Ini boleh mencekiknya apabila ia terjerut secara tidak sengaja.
Simpan bahan-bahan kecil yang mudah ditelan atau dihidu oleh kanak-kanak. Asingkan dan letak di tempat khas. Manik-manik antara salah satu punca anak-anak tercekik, seeloknya benda bermanik dijauhkan dari mereka.
Ubatan yang berwarna warni perlu ditelakkan di tempat khas serta jauh dari pandangan kanak-kanak. Warna yang pelbagai sering menarik minat kanak-kanak untuk mencubanya.
(Kerana itu dinasihatkan supaya tidak menipu anak-anak dengan mengatakan bahawa ubat yang mahu diberi kepada mereka adalah gula-gula atau sirap)
Bayi yang menyusu botol tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian. Sebaik-baiknya ibu bapa menyusukan si anak dan membantunya 'burp' selepas menyusu.
(Ada kes dimana anak-anak dibiarkan menyusu botol sendirian dengan meletakkan alas dibawah botol bagi membantu melancarkan perjalanan susu. Ini akan membuatkan aliran susu terlampau laju, anak-anak tidak sempat menarik nafas antara hisapan, lalu menyebabkan mereka tersedak/lemas dengan susu)
Beg-beg plastik harus dilipat atau diletakkan ditempat/laci tinggi supaya anak-anak tidak mengambilnya sebagai permainan. Jika ia menutupi kepala dan muka, ia akan menyebabkan anak-anak lemas.
Elakkan kanak-kanak daripada bermain dekat barangan lama seperti almari, peti sejuk atau mesin basuh yang tidak digunakan lagi. Bagi memastikan mereka tidak terperangkap di dalamnya, barangan seperti ini sepatutnya dibuangkan/disimpan di stor berkunci.
Jangan biarkan kanak-kanak kecil bersendirian berdekatan dengan takungan air, umpamanya kolam atau baldi. Air yang sedikit adalah mencukupi untuk menyebabkan lemas dalam masa yang singkat.
Bekas air seperti tempayan mesti ditutup bagi mengelakkan kanak-kanak terjatuh ke dalamnya. Pintu bilik air seeloknya dikunci sebelum masuk tidur atau bila-bila masa kerana tanpa kita sedari, anak-anak boleh menyelinap masuk bermain air dan jika lantai terlalu licin, mereka mungkin tergelincir lalu masuk ke dalam kolah tadahan air.
Elektrik merupakan suatu keperluan setiap rumah dan juga kehidupan harian. Kecederaan kejutan elektrik biasanya berlaku akibat kecuaian.
Semua peralatan elektrik sebaik-baiknya disimpan apabila tidak digunakan. Plug peralatan elektrik sepatutnya tidak dibiarkan disuis dan terpasang. Cabutkan plug dan gulungkan dengan kemas wayarnya.
Suis yang tidak diguna seelok-eloknya ditutup dan dipadamkan. Ataupun lindungi soket suis dengan perabot supaya kanak-kanak tidak boleh mendekatinya.
Semua kerosakan peralatan elektrik seperti wayar yang terkoyak atau bahagian pengalir elektrik yang terdedah mesti diperbaiki dengan segera. Kejutan elektrik boleh berlaku secara tidak sengaja.
Pastikan segala peralatan elektrik di rumah berada dan berfungsi dalam keadaan yang sempurna lagi selamat.
Adakan pemeriksaan dan penyelenggaraan peralatan-peralatan ini secara berkala.
Di rumah terdapat berbagai-bagai bahan kimia dan ubatan yang boleh meracuni dan membahayakan. Oleh kerana bahan-bahan ini diperlukan untuk tujuan penting seperti mencuci serta mengubati (ubat-ubatan sebagai contoh) penyimpanan dan penggunaannya mestilah dikawal bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya keracunan.
* Semua bahan bukan makanan mesti disimpan di tempat selamat dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
* Bahan berbahaya seperti racun serangga, minyak tanah, cat dan lain-lain mesti mempunyai label ''RACUN'' dan disimpan jauh daripada pencapaian kanak-kanak. Beritahu anak-anak bahawa cairan ini adalah bahaya. Letak diluar rumah/stor jika boleh.
Elakkan daripada menggunakan botol minuman yang kosong seperti bekas air mineral sebagai bekas menyimpan bahan-bahan ini.
* Ubat-ubatan perlu dikunci supaya tidak diambil oleh kanak-kanak. Ada yang menyerupai gula-gula yang akan menarik perhatian mereka. Sebaik-baiknya juga, bahan seperti ini diasingkan dengan bahan makanan supaya tidak mengelirukan sesiapa.
Sememangnya malang tidak berbau. Jika kita sudah mengambil inisiatif seperti diatas; tetapi kecederaan terhadap kanak-kanak tetap berlaku. Siapa kita mahu menidakkan takdir tuhan.
Cuma sebagai langkah pencegahan, seeloknya kita berusaha dahulu barulah kita berserah. - Siakap Keli
BACA: Tip Untuk Memastikan Ubat-Ubatan Tidak Mudah Diakses Oleh Kanak-Kanak