"Fizikal Anak Saya Memang Seperti Dalam TV, Jadi Saya Tidak Kisah Orang Ejek Kerana Mereka Tak Tahu,'' - Ibu
Drama 7 Hari Mencintaiku nampaknya telah meninggalkan kesan yang agak mendalam dengan lakonan mantap watak Buntat yang dilakonkan oleh adik Muhammad Ariff Abdullah apabila wataknya itu meninggal dunia dalam drama berkenaan yang ditayangkan di slot Akasia di TV3, semalam
Nama beliau sering 'trending' dalam media sosial sejak drama berkenaan dimainkan di TV, tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengejek fizikal pelakon kanak-kanak berkenaan.
Namun bagi ibu Muhammad Ariff, Puan Rosdiana Mastura Abdullah, 29, dia tidak berkecil hati dengan ejekan berkenaan kerana anak sulungnya yang berusia 12 tahun itu mengalami disleksia yang hanya cenderung kepada perkara yang diminati sahaja.
Menurutnya, anaknya itu turut menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
"Fizikal anak saya memang seperti dalam gambar dan TV. Dia mengalami disleksia sejak berusia enam tahun lagi. Disebabkan itu dia lebih gemar melakukan apa yang dia suka saja.
"Apabila mula bersekolah, dia ditempatkan di kelas pemulihan Bahasa Malaysia. Kekurangannya di situ sahaja, selebihnya dia seperi budak normal lain.
"Apabila ada segelintir pengguna laman sosial mengejeknya, saya tak terasa pun. Malah saya tak nak ambil kisah. Saya beranggapan mereka tak tahu keadaan sebenar anak saya," katanya.
Rosdiana yang merupakan seorang kakitangan Jabatan Kemas Kedah yang kini menetap di Jitra Kedah, lebih bersikap terbuka dan mengambil segala kritikan terhadap anaknya sebagai sesuatu yang positif.
"Saya tahu kelemahan anak saya, jadi apa saja persepsi yang dilemparkan kepadanya saya anggap ia lumrah dan perkara biasa dalam bidang ini.
"Saya juga percaya tidak semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Sebagai ibu saya mengajar anak untuk menerima setiap kritikan," katanya.
Sumber: Harian Metro
- Siakapkeli.my