Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Tiga Individu Ditahan Selepas Hasil Bedah Siasat Dapati Kanak-Kanak OKU Berusia 11 Tahun Didera

20 Okt 2016


JOHOR BAHARU, 20 Okt - Pihak polis telah menahan tiga individu termasuk ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak OKU yang ditemukan mati di bilik air rumah mereka di Endau, Mersing pada petang semalam.

Seorang lagi yang ditahan adalah abang kepada bapa tiri kanak-kanak terbabit.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada jam empat petang tadi di sekitar Endau selepas laporan bedah siasat mendapati ada unsur penderaan.

"Hasil bedah siasat mendapati ada kesan penderaan pada anggota badan mangsa. Justeru itu, mereka disyaki terlibat dalam membuat penyeksaan terhadap mangsa," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan hari ini.

Kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut itu kini diklasifikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.

OKU berkenaan, Mohamad Roshamnudin Abdullah didakwa ditemukan oleh ibunya dalam keadaan terbaring dengan kaki dihempap tong air di bilik air rumahnya petang semalam.

Kanak-kanak itu yang dibawa ke Klinik Kesihatan Endau disahkan telah meninggal dunia.

Pemeriksaan oleh doktor di klinik itu mendapati mangsa mempunyai kesan melepuh seperti terkena benda panas dipercayai api rokok, kata Kamarul Zaman.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata pihaknya akan memohon perintah reman bagi ketiga-tiga suspek esok.

Sumber: Harian Metro
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "