KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pihak polis akan menjalankan siasatan berikutan insiden lori menyeret Myvi yang mana video kejadian menjadi viral di media sosial.
Menerusi video kejadian yang dirakam oleh seorang pengguna jalan raya, lori berkenaan dilihat menyeret sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru itu beberapa meter. Video tersebut seterusnya menimbulkan tanda tanya netizen tentang punca kejadian.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu kejadian adalah kemalangan yang membabitkan sebuah lori dan Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita berusia 18 tahun di susur keluar Air Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) semalam kira-kira jam 12.55 tengah hari.
BH Online melaporkan, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintenda Shafie Daud berkata kedua-dua kereta itu bergerak di laluan sebelah kiri lebuh raya itu untuk masuk ke susur keluar Air Panas sebelum kereta berkenaan cuba memotong lori itu dari sebelah kiri.
"Ketika sedang memotong, laluan terbabit semakin mengecil yang mana hanya boleh dilalui sebuah kenderaan saja menyebabkan berlaku pergeseran antara dua kenderaan itu.
"Impak pergeseran menyebabkan Myvi terbabit berpusing dalam keadaan melintang di hadapan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun menyebabkan ia terus diseret oleh lori terbabit sepanjang kira-kira 30 meter di laluan susur keluar berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori dan kereta terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya lagi, lori terbabit juga akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan brek dan pemandunya kini ditahan bagi membantu siasatan.
Video berdurasi 45 saat yang dipercayai dirakam seorang penunggang motosikal itu menunjukkan saat-saat Myvi berkenaan diseret tanpa tanda-tanda pemandu lori terbabit mahu memberhentikan lorinya sehinggalah orang ramai membunyikan hon beberapa kali memintanya berbuat demikian.
Sumber : BH Online