Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Menerima Surat Saman, Dan Tidak Melantik Peguam? Ikuti Tip Menghadiri Ke Mahkamah Secara Sendirian Untuk Sebutan Kes

21 Okt 2016
No Comment

Apabila menerima surat dari mahkamah, di mana perlu menghadirkan diri untuk sebutan kes, ianya seperti memberi impak yang besar pada diri, risau akan apa yang perlu dilakukan sebelum atau ketika menghadirkan diri ke mahkamah, lebih-lebih lagi jika tidak melantik mana-mana peguam.

Tetapi, anda tidak perlu terlalu khuatir atau risau, jika menerima Writ Saman (Dokumen yg dikeluarkan oleh mahkamah bagi memerintahkan defendan (pihak yang kena tuntut) dalam kes sivil supaya hadir di mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan) daripada peguam, kerana anda boleh sahaja terus menghadirkan diri, secara bersendirian jika tidak melantik peguam.

Namun, anda harus ingat, anda tidak boleh sewenang-weanangnya hadirkan diri begitu sahaja ke mahkamah, anda harus tahu beberapa prosedur, agar kehadiran anda tidak sia-sia. Mari kita lihat, apa yang perlu dilakukan jika menghadirkan diri ke mahkamah secara bersendirian, perkongsian daripada saudara Mohd Redza Bin Khazale.


Apa yang perlu anda buat bila terima Writ Saman daripada peguam dan mahu hadir ke mahkamah sendiri (tanpa melantik peguam)?

Saya seringkali bertemu dengan orang awam di Mahkamah yang mengeluh bahawa walaupun mereka hadir di Mahkamah untuk sebutan kes, tetapi kes mereka telah dipanggil tanpa menunggu mereka tiba di bilik bicara.

Akibatnya, Penghakiman Ingkar telah direkodkan terhadap mereka oleh Mahkamah dan ini sudah pasti akan menimbulkan keresahan dan tidak puas hati kepada pihak peguam mahupun mahkamah.

Jadi saya nak kongsikan beberapa tips jika anda menghadapi situasi seperti di atas.

1) DATANG AWAL KE MAHKAMAH


1.1 - Ini kerana kebanyakkan mahkamah mempunyai lebih daripada satu bilik bicara. Ia mengambil masa untuk mencari kes anda disebut di bilik bicara yang mana. Sekiranya anda tiba awal, anda boleh terus ke bahagian pendaftaran dan tanyakan pada kerani, di bilik bicara mana kes anda disebut.

1.2 - Setelah anda tahu di bilik bicara mana kes anda disebut, anda boleh terus masuk ke bilik bicara tersebut (jika sudah dibuka) dan tunggu sehingga jurubahasa mahkamah masuk ke dalam bilik bicara.

1.3 - Mahkamah akan bersidang tepat jam 9 pagi. Jadi pastikan anda berada di dalam bilik bicara sekurang-kurangnya 15 minit sebelum kes anda disebut.

2) JANGAN MALU BERTANYA

2.1 Apabila anda melihat jurubahasa telah masuk ke bilik bicara, anda boleh terus pergi ke jurubahasa dan dapatkan kepastian sama ada kes anda disenaraikan di bilik bicara tersebut anda boleh tunjukkan Writ Saman anda pada jurubahasa.

2.2 Jika betul kes anda disebutkan di mahkamah tersebut, nyatakan pada jurubahasa bahawa anda adalah Defendan supaya jurubahasa tahu bahawa anda hadir di Mahkamah. Jurubahasa juga akan memaklumkan kepada peguam yang saman anda bahawa anda hadir di Mahkamah.

2.3 Atau anda boleh minta bantuan daripada peguam-peguam yang ada di bilik bicara untuk daftarkan kes anda dengan jurubahasa.

2.4 Kemudian anda boleh kembali mengambil tempat di tempat duduk awam dan tunggu kes anda dipanggil.

3) FOKUS

3.1 Apabila Mahkamah telah bersidang, sila fokus pada kes-kes yang dipanggil.

3.2 Jangan main telefon atau bersembang. Sebab kadang-kadang ada jurubahasa yang suaranya perlahan dan sukar didengar dengan jelas. Sebaiknya hafal nombor kes anda kerana kes selalunya dipanggil berdasarkan nombor kes.

3.3 Apabila kes anda dipanggil, anda perlu bangun dan masuk ke ruang hadapan (kawasan tempat duduk peguam) dan dengar apa yang akan dikatakan oleh jurubahasa pada anda. Keluarkan kad pengenalan anda untuk diberikan kepada jurubahasa untuk tujuan rekod kehadiran.

3.4 Kemudian terpulang pada anda sama ada anda setuju atau tidak dengan tuntutan di dalam Writ Saman tersebut. Jika tidak setuju nyatakan anda tidak setuju dan mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan baru untuk anda melantik peguam, tetapi jika anda setuju satu penghakiman persetujuan akan direkodkan dan tidak ada lagi tarikh sebutan ditetapkan.

Ini sedikit sebanyak tips yang boleh saya kongsikan pada anda semua, yang penting anda jangan malu bertanya jika terdapat sebarang persoalan ketika berada di mahkamah.

Moga penulisan ini memberi manfaat. - Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "