Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Lelaki Mengamuk Cetus Kekecohan Dalam Mahkamah Kerana Bapa Tak Mampu Bayar Wang Jaminan

14 Okt 2016


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Suasana di Mahkamah Trafik di sini hari ini kecoh seketika apabila seorang pemuda mengamuk dan menjerit-jerit di dalam kandang tertuduh berhubung soal wang jaminan.

Muhammad Jabarullah Mazlan, 23, bertindak demikian sejurus bapanya memberitahu yang dia tidak mampu membayar wang jaminan RM5,000 yang ditetapkan Majistret Husna Dzulkifly bagi tuduhan menunggang motosikal secara merbahaya.

Pemuda itu kemudian bertindak menendang dan menghentak kepalanya pada kandang tertuduh sambil menangis dan berteriak mempertikai tindakan yang diambil terhadapnya.

Bapa tertuduh cuba mententeramkannya dengan memeluk erat anaknya sambil menyuruhnya bersabar dan beristighfar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menunggang motosikal jenis Kawasaki EX250 secara melulu dan merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan yang lain di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini pada 1.15 pagi, 4 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun serta lesen memandu dibatalkan jika sabit kesalahan.

Lelaki itu yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Hashimah memohon jaminan ditawarkan RM7,000 dan seorang penjamin. Husna menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "