Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Kadar 8 Tol Kemungkinan Naik Berdasarkan Perjanjian Konsesi Atau Kerajaan Terpaksa Bayar Pampasan

13 Jun 2016
No Comment

Pihak kerajaan dilaporkan akan membuat keputusan muktamat dalam masa terdekat ini mengenai jumlah kadar kenaikan kadar tol di lapan lebuh raya utama, lapor Sinar Harian.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sekiranya kerajaan tidak menaikkan kadar tol, ianya tiada cara lain melainkan kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi terbabit.

“Dalam mengatasi isu kadar tol ini, pihak kerajaan menghadapi dilema iaitu sama ada membenarkan kenaikan kadar tol ataupun memberikan pampasan. Itulah dua pilihan yang ada pada kerajaan.

“Dengan erti lain, pengguna jalan perlulah membayar jika ingin menggunakan kemudahan tol ini manakala bagi pihak kerajaan, bebanan hutang tetap akan ditanggung di bawah terma-terma perjanjian yang dipersetujui,” kata Fadillah.

Berdasarkan perjanjian pihak kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi, terdapat lapan lebuh raya telah dibenarkan menaikkan kadar tol sebanyak lima peratus mulai Januari 2016.

Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan ini, jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan ialah sebanyak RM593 juta.

Kelapan-lapan lebuh raya berkenaan ialah semua tol kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (Plus)kecuali Jambatan Pulau Pinang, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Manakala empat lebuh raya lagi ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Butterworth-Kulim Expressway (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB).

Beliau turut menjelaskan yang kerajaan pusat amat prihatin untuk tidak membebankan rakyat dimana telah melarang sebarang kenaikan kadar tol antara tahun 2008 hingga 2014.

Bagaimanapun, yang menanggung akibatnya ialah kerajaan.  Jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi ini melebihi RM2.2 bilion sepanjang tempoh enam tahun itu,” kata Fadillah.

Fadillah bagaimanpun tidak mahu membuat sebarang spekulasi sama ada berlaku kenaikan kadar tol lapan lebuhraya berkenaan kerana masih belum ada rundingan antara kerajaan dengan semua syarikat konsesi terbabit.

Manakala bagi tahun depan, mengikut perjanjian, terdapat empat lebuh raya lagi dibenarkan menaikkan kadar tol. Keempat-empat lebuh raya ini ialah Guthrie Corridor Expressway (GCE), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Senai-Desaru Expressway (SDE) dan Eastern Dispersal Link (EDL).

Di bawah perjanjian itu juga, mulai tahun 2016, Plus dibenarkan menaikkan kadar tol sebanyak 5 peratus dalam tempoh tiga tahun sekali sehingga tahun 31 Disember 2038.

Kali terakhir Plus menaikkan kadar tol ialah pada tahun 2005, bagaimanapun pada PRU lalu, BN melalui manifestonya berjanji tidak akan meluluskan kenaikan kadar tol dalam tempoh lima tahun, iaitu antara tahun 2013 hingga 2018. - Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "