Selepas 7 Hari Hilang Dalam Hutan Didiami Beruang, Yamato Ditemui Selamat
Jepun, 3 Jun - Budak lelaki 7 tahun yang ditinggalkan di dalam hutan yang didiami beruang pada minggu lepas telah ditemui selamat dan dalam keadaan sihat.
Yamato Tanooka, yang ditinggalkan kerana nakal ketika menaiki kereta, ditemui sedang berada di dalam sebuah bangsal oleh sepasukan askar yang sedang menjalani latihan, 5km dari tempat dia dilaporkan hilang.
Doktor yang merawat kanak-kanak itu berkata Yamato sangat tenang biarpun sudah hilang selama 7 hari.
Menurut laporan, askar itu menemui Yamato sedang 'bergulung' di atas satu tilam di bangsal tersebut. Askar tersebut kemudian memberikannya nasi kepal dan roti apabila Yamato berkata dia lapar dan dahaga.
Berita kehilangan Yamato mencuri tumpuan dunia apabila ibu bapanya mengaku menipu dalam memberikan kenyataan tentang kehilangan anaknya itu.
Pada awalnya, bapa kepada Yamato berkata anaknya itu hilang di dalam hutan ketika sedang memetik sayuran namun akhirnya mengakui dia menyuruh anaknya keluar dari kereta sebagai hukuman kerana nakal. - Siakapkeli.my