Kisah seorang pelajar lembam yang gagal kesemua matapelajaran kecuali mata pelajaran Sains di dalam ujian SPM baru-baru ini telah menjadi viral di media sosial setelah ia dimuat naik oleh guru kepada pelajar tersebut.
Kisah tersebut, yang juga merupakan luahan hati guru yang dikenali sebagai Cikgu Izzat itu mendapat lebih 10,000 perkongsian di Facebook.
Cikgu Izzat berkata pelajar lembam itu sering kelihatan terpinga-pingan dan menjadi mangsa 'buli' rakan-rakan.
Ikuti perkongsian penuh dari Cikgu Izzat.
Keputusan SPM 2015 ini adalah keputusan salah seorang pelajar kelas saya. Saya adalah guru Sains dan guru kelas pelajar tersebut; kelas tingkatan 5 yang paling belakang.
Pelajar ini merupakan pelajar yang lembam dalam pembelajaran. "Blur" apabila guru bertanya sesuatu, suka sengih setiap masa, menjadi bahan buli dan bahan jenaka kawan-kawan, suka berbuat apa sahaja yang diarahkan oleh kawan-kawannya walaupun perbuatan tersebut memalukan.
Saya suka bersembang dengan dia. Dia banyak diam sambil tersengih tanpa menjawab sepatah pun soalan saya. Di sudut hati saya, dia hanya perlu perhatian, bukan perlu belajar untuk habiskan silibus.
Saya jarang mengajar apabila masuk ke kelas ini. Saya akan ajar tajuk berkaitan selama 10 minit, buat 1 atau 2 soalan contoh, kemudian bersembang dengan mereka.
Saya tahu dan saya yakin, bicara dan perhatian guru lebih bernilai di mata pelajar-pelajar sebegini berbanding menengking mereka dan memaksa mereka menyiapkan kerja sekolah.
Ibubapa pelajar ini hanya hadir ke sekolah setahun sekali. Datang awal pagi, beratur panjang semata-mata untuk menuntut bantuan persekolahan RM100.
Mesyuarat PIBG tak pernah hadir. Perjumpaan Jaya Waris di mana guru bertemu waris untuk berkongsi perkembangan anak mereka di kelas, juga tidak pernah hadir.
Pelajar seperti ini hanya mahukan kasih sayang, perhatian dan rasa dipunyai oleh ibubapa.
Jika kita sebagai guru tidak dapat mengisi kekosongan tersebut di dalam hati mereka, maka sekolah akan menjadi neraka kedua selepas rumah mereka.
Peperiksaan sebenarnya bukan menilai tahap pemahaman pelajar, tetapi menilai tahap ketulusan seorang guru dalam mendidik mereka.
Setelah saya melihat keputusan pelajar ini, terdetik memori silam sewaktu saya menjadi pelajar yang sangat meminati Sains dan Biologi dahulu:
"Kita meminati sesuatu subjek kerana guru subjek tersebut."
Terima kasih anak-anak muridku kerana "mengajar" ku selama ini untuk menjadi seorang guru dan ayah yang baik.
- Siakapkeli.my
Keputusan SPM 2015 ini adalah keputusan salah seorang pelajar kelas saya. Saya adalah guru Sains dan guru kelas pelajar...
Posted by Cikgu Izzat on Friday, 4 March 2016