Ikan Paus 9 Meter Tersangkut di Johor Berjaya Diselamatkan
PONTIAN - Seekor ikan paus seberat 3 tan dan berukuran 9.14 meter menggemparkan penduduk di Pantai Rambah di sini apabila ia ditemui kira-kira jam 2.00 petang tadi.
Penemuan terbabit menarik perhatian orang ramai kerana ia disifatkan unik kerana haiwan mamalia itu hidup di kawasan beriklim sejuk dan tidak terdapat di kawasan perairan negara ini.
Ikan paus itu telah diselamatkan oleh penduduk dan anggota penyelamat yang terdiri dari Bomba dan JPAM.
Menurut Ketua Operasi Khidmat Khas, Balai Bomba Pontian Baru, Jumaat Sailan, ikan paus tersebut diselamat menggunakan bot nelayan tempatan yang digunakan untuk menarik ikan paus berkenaan yang berada hanya kira-kira 50 meter dari kawasan tebing Pantai Rambah.
"Ikan paus itu masih lagi hidup. Justeru gerakan menyelamatkan mamalia itu dilakukan dengan bantuan penduduk dan nelayan tempatan.
"Kami cuba membawa ikan paus itu ke laut dalam, kerana kawasan di tepi pantai Rambah agak cetek.
"Ekor ikan paus telah diikat dengan tali, yang kemudiannya ditarik oleh nelayan tempatan ke laut dalam kira-kira 50 meter," katanya.
Tambah beliau juga, sebaik haiwan itu berjaya ditarik ke kawasan laut dalam kira-kira jam 3.30 petang ikan tersebut dilepaskan.
"Gerakan menyelamatkan ikan paus sebegini, kali pertama dilakukan di kawasan pantai di daerah Pontian.
"Kerjasama yang begitu baik penduduk dan nelayan kepada pasukan penyelamat memudahkan kerja-kerja menyelamat dilakukan,"katanya sebagaimana lapor Sinar Online.
Seorang nelayan, Ariss Karim, 54, berkata ikan paus itu dilihat berlegar-legar di tengah laut berdekatan Pantai Rambah sejak awal pagi tadi namun dia tidak menyangka ianya adalah ikan paus sehingga mamalia itu terdampar di Pantai Rambah tengahhari semalam semalam.
"Ikan paus itu mungkin ikut arus sehinggalah terdampar ke tepi pantai. Ini kali pertama pak cik melihat ikan paus di kawasan pantai di sini. Memang pelik kerana ikan sebegini hanya boleh ditemui di kawasan beriklim sejuk,"katanya. - Siakapkeli.my