Isu Tandas Sekolah Dikenakan Cas 30 sen Sudah Selesai — Pengarah Jabatan Pendidikan PP
Pulau Pinang, 15 Jan - Isu tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George, Macalister Road di sini yang didakwa mengenakan caj 30 sen untuk digunakan akhirnya telah selesai.
Isu tersebut menjadi viral di media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPPP), Shaari Osman, tandas yang didakwa mengenakan caj itu hanya melibatkan beberapa buah tandas sahaja.
Tambahnya lagi, tandas yang selebihnya masih boleh digunakan secara percuma oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.
“Walau apa pun saya telah meminta amalan mengenakan bayaran itu diberhentikan serta merta.
“Sekolah juga telah akur dan mulai hari ini ianya tidak lagi dikenakan bayaran untuk semua tandas,” katanya menerusi Facebook.
Isu tandas itu mula viral apabila ia dikongsi oleh laman Facebook Penang Kini.
TheRakyatPost melaporkan sebagaimana kenyataan di laman tersebut, pejabat sekolah terbabit telah memaklumkan bahawa keputusan untuk mengenakan caj itu adalah keputusan Persatuan Ibubapa dan Guru serta alumni pelajar sekolah berkenaan.
Menerusi komen salah seorang guru sekolah terbabit, difahamkan langkah itu adalah penyelesaian terakhir jika sikap pelajar menggunakan tandas tidak berubah.
Menurut guru itu juga, bukan pelajar sahaja, malah guru juga turut dikenakan bayaran jika mahu menggunakan tandas tersebut. - Siakapkeli.my