Hospital Didakwa Tersilap Serah Bayi, Bapa Terkejut Tengok Tag Nama Orang Lain
JITRA: Sepasang suami isteri kesal dan mendakwa kecuaian sebuah pusat rawatan apabila 'tersilap' memberi bayi kepunyaan pasangan lain ketika bersalin di hospital tersebut.
Menurut Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, kejadian itu hanya disedari pihak hospital sehari selepas isterinya melahirkan anak dan sudah pulang ke rumah.
Isterinya, Mahani Zakaria, 36, yang melahirkan anak kelima mereka pada Selasa lalu sudahpun menyusukan bayi yang 'tersilap' itu.
"Kami mendapat panggilan daripada pusat rawatan ketika waktu Maghrib iaitu kira-kira 7.30 malam. Saya pun agak terkejut apabila tengok tanda tag di kaki bayi memang nama orang lain.
"Kalau nak dikira logiknya, sepanjang satu hari masa di hospital dalam wad berkenaan isteri saya memegang bayi berkenaan dan menyusukannya sehingga pulang ke rumah. Bagi menyusu sehingga kenyang, bayi itu sudah boleh menjadi anak susuan.
"Namun kami tidak sedar dan hospital pun tidak sedar sehinggalah pasangan satu lagi itu memberitahu bayi berkenaan bukan anaknya dan memberitahu hospital. Mereka kemudiannya ke hospital untuk tunjuk bukti bahawa bayi kami sudah tertukar," kata Nik Ahmad dengan rasa kesal, memetik laporan Astro Awani.
Selepas menerima panggilan daripada pihak hospital, pasangan suami isteri itu segera ke hospital dan sampel darah Mahani diambil bagi ujian DNA.
Sementara itu, Mahani mengakui merasa trauma dengan kejadian tersebut yang mungkin boleh terjadi kepada pasangan lain.
"Kesilapan berkenaan tidak boleh berlaku dalam bidang ni. Kalau bidang lain itu tidak apa namun kalau bidang memang tidak boleh ada kesilapan.
"Kalau ada kesilapan bermakna awak tidak perlu duduk kerja di sini dan perlu diambil tindakan. Kalau minta maaf macam itu sahaja, bagi saya semua orang boleh minta maaf. Jadi pengajaran itu kena ada, kalau tidak, bayangkan kalau saya tidak perasan dan dia pun tidak perasan, apa akan jadi?" luahnya.
Nik Ahmad membuat laporan polis berhubung kecuaian pusat rawatan itu pada jam 12 tengah malam tadi, namun kes dianggap selesai apabila kedua-dua pasangan ibu bapa itu mengambil anak masing-masing.- Siakapkeli.my