Tun M Sindir Najib, Ucapan Ketika PAU2015 Hanya Lebih Pertahan Diri Sahaja
KUALA LUMPUR: Mengecewakan, itu yang disifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno (PAU2015) pada minggu lalu.
Menerusi tulisan terbarunya di blog chedet.cc, Tun M mempersoal mengapa Najib tidak menggunakan ruang semasa ucapannya untuk menjelaskan beberapa isu yang menjadi cakap-cakap rakyat negara ini, iaitu isu derma politik RM2.6 bilion dan skandal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah Tun M juga menyifatkan Najib hanya akan digelar sebagai 'gentleman' sebagaimana yang diakuinya di dalam ucapan baru-baru ini, sekiranya Perdana Menteri itu meletak jawatan.
Malah beliau juga mempertikaikan tindakan Najib menekan peranan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang ditafsirnya sebagai sokongan kepada Presiden semata-mata.
"Sebenarnya bantu bermakna tolong. Dalam Bahasa Inggeris ia bermakna “assist” atau “help”. “Assistance” dan “help” bermaksud memberi pendapat dan nasihat berkenaan dasar dan tindakan yang dicadang oleh Presiden. Jika Presiden lemah, atau uzur maka Timbalan Presiden dan Naib Presiden perlu bantu. Jika Presiden salah, anggota lain perlu tolong betulkan.
"Tetapi Presiden hanya menafsir bantu sebagai sokong. Demikian disebut dalam ucapan “kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan “sebagai dipanggil kita datang, disuruh pergi kita pulang – Begitulah luhurnya prinsip kesetiaan dan ketaatan.” Itulah sahaja yang dikehendaki oleh Presiden.
"Semua anggota parti di semua peringkat tidak perlu fikir, tidak perlu memberi apa-apa sumbangan tetapi apabila disuruh datang, datang disuruh pergi, pergi. Apabila Presiden suruh jahanamkan parti pun jahanamkan. Jangan soal, jangan tegur dan jangan bantah. Inilah dasar dan kehendak Presiden Parti.
"Jika tidak patuh kepada arahan Presiden atau menuding jari kepada kesalahan Presiden maka tindakan diambil untuk menggantung atau menyingkir dari parti," demikian memetik tulisan Tun M. -Siakapkeli.my