SUNGAI BULOH, 9 Dis: Susulan kes OKT (Orang Kena Tuduh) yang terlepas baru-baru ini, penduduk Kampung Paya Jaras Tengah merasa bimbang dan takut selepas mengetahui berita individu tersebut meloloskan diri di sekitar kawasan kediaman mereka.
Seorang penduduk, yang mahu dikenali sebagai Hawa berkata, setelah mengetahui tentang berita tersebut dia merasakan kawasan kediaman yang didudukinya seperti tidak selamat.
"Pada malam kejadian itu, saya dan suami sedang menonton televisyen. Tiba-tiba kami terdengar bunyi orang berlari dengan hentakan kaki yang sangat kuat.
"Keesokan harinya baru kami tahun bahawa seorang tahanan polis terlepas. Memang takut selepas mendapat tahu maklumat mengenai tahanan terlepas itu. Saya pastikan rumah saya berkunci dan tingkap ditutup dengan rapat," katanya sebagai mana memetik laporan Astro AWANI.
Seorang peniaga, Kamariah Mohd yang juga tinggal di kampung tersebut khuatir jika OKT itu bertindak memecah masuk rumahnya.
"Saya bimbang dan takut sekiranya tahanan itu menerjah kedai atau rumah kami. Bila dapat tahu mengenai perkara ini saya bertambah takut apabila kawasan sekitar ini memang banyak kes pecah rumah dan samun," katanya.
Sebelum ini, seorang OKT berusia 34 tahun berjaya meloloskan diri ketika berada di bawah tahanan polis daerah Klang Utara dalam satu rancangan serbuan di Paya Jaras.
Tahanan itu meloloskan diri dalam keadaan tangan bergari dan masih memakai baju bewarna jingga.
OKT tersebut dipercayai terlibat dalam 20 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara. - Siakapkeli.my