Angkatan Muda Keadilan meluahkan perasaan kesal mereka dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang berkata kononnya kaum Bumiputera akan menjadi pencuri sekiranya tidak menerima bantuan dari kerajaan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Lee Chean Chung berkata kenyataan seumpama itu tidak wajar dikeluarkan oleh seorang menteri kerajaan pusat.
“Kenyataan itu berunsur penghinaan dan membawa maksud bumiputera yang miskin akan menjadi pencuri.
“Kenyataan yang mengatakan bahawa seseorang akan menjadi pencuri seandainya tidak mendapat bantuan kewangan adalah amat menghina kerana akhlak seseorang insan adalah tidak berkaitan sama ada seseorang itu mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.
“Saya amat kecewa dengan Nancy Shukri kerana memegang jawatan Menteri tetapi tidak memahami keadaan kehidupan warga miskin di Malaysia.
“Hakikatnya, terdapat ramai warga miskin sama ada di bandar dan luar bandar yang menampung kehidupan mereka sendiri dengan bekerja keras dan mencari rezeki kehidupan dari sumber yang halal,” katanya memetik artikel dari suarapakatandaily.
Lee juga menambah terdapat bumiputera yang bekerja sehingga lebih dari 12 jam sehari untuk mendapatkan gaji minima RM1,000 dan mempersoalkan mengapa Nancy sanggup mengaitkan masalah kemiskinan dengan jenayah.
“Padahal, yang menjadi pencuri di dalam negara bukan warga miskin, tetapi terdiri juga daripada mereka yang kaya-raya, memegang jawatan tinggi dan mencuri duit rakyat.
“Adakah mereka yang terlibat dengan rasuah merupakan golongan miskin yang tidak mendapat bantuan? Adakah isu yang didedahkan dalam laporan audit negara yang menglibatkan ketirisan dan pemborosan dilakukan oleh golongan miskin yang tidak mendapat bantuan? Siapakah yang mendapat duit berbilion Ringgit di dalam akaun peribadi?” tanya Lee.
Selain itu Lee juga mendesak agar Nancy menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia.
“Saya mendesak Nancy supaya menarik balik kenyataannya dengan segera dan meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia atas kenyataannya yang memperlekehkan usaha penghapusan kemiskinan,” kata beliau.
Sebelum ini, kenyataan dari Nancy pada 8 November lalu mencetus pelbagai kritikan dari banyak pihak apabila beliau berkata bumiputera akan mula mencuri sekiranya tidak dibantu.
"Jika anda tidak membantu ... masalah sosial akan berlaku. Kerana mereka akan ketinggalan jauh di belakang, akan ada masalah sosial. Itulah keadaannya, jika mereka tidak mempunyai wang, apa yang mereka akan lakukan? Mereka akan mula mencuri "- kata Nancy dialih bahasa dari laporan dari TheMalayMail Online. - Siakapkeli.my