Kerajaan Kaji Keperluan Kenakan Cukai Terhadap Vape
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dilaporkan sedang mengkaji keperluan untuk mengenakan cukai eksais terhadap rokok elektronik termasuk vape bagi menghalang ia daripada menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kajian terhadap keperluan mengenakan cukai terhadap perisa vape adalah kerana ia mengandungi nikotin yang merupakan bahan terkawal.
"Kalau e-cigarette (e-rokok) yang mempunyai nikotin, kami mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memberi layanan kepada e-cigarette sama macam rokok, bermakna kalau rokok dikenakan cukai eksais, e-cigarette pun kena cukai eksais, tapi itu kami sedang kaji dari segi undang-undang.
"Nikotin ialah bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952. Sesiapa yang menjual nikotin perlu memohon permit daripada biro farmasi, jadi jika tiada permit ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Dr. Subramaniam berkata, perkara itu juga bagi menghalang budaya vape menggantikan budaya menghisap rokok selepas kementerian 'berperang' berpuluh tahun untuk menangani isu merokok. - Siakapkeli.my