Gambar Dengan Anak Kiram, Kerajaan Mahu Rujuk Tindakan Nurul Izzah Ke Jabatan Peguam Negara
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan akan membawa kes pertemuan Ahli Parlimen lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H. Kiram Hasam kepada Jabatan Peguam Negara.
"Polis akan mengendalikan kes ini dan akan menentukan bentuk tindakan yang akan diambil.
"Kerajaan akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan pihak perundangan berkaitan kes ini," tegasnya.
Bukan itu sahaja, mana-mana Ahli Parlimen juga boleh membuat saranan usul tindakan terhadap Nurul Izzah di Dewan Rakyat nanti.
"Ketika kita meraikan perbezaan pandangan dalam politik, tetapi dalam hal berkaitan keselamatan negara, ahli politik perlu sensitif dan tidak sepatutnya mempunyai pendapat berbeza.
"Semua pihak tahu keluarga Jamalul Kiram ada kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu. Ia bukannya kes berkaitan politik, tetapi ia menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
"Jika ada antara rakyat kita yang dilihat bersama mereka, ia umpama mengiktiraf keluarga Kiram. Pada pandangan kerajaan, pertemuan ini sememangnya tidak dialu-alukan," katanya lagi.
Beberapa gambar Nurul Izzah bersama Jacel, iaitu anak perempuan kepada Jamalul Kiram II tersebar di laman-laman sosial dan dipercayai diambil pada bulan ini. -Siakapkeli.my