Wan Azizah, Kit Siang Dan Guan Eng Dicabar Letak Jawatan Jika Undi Tak Percaya Terhadap Najib Gagal
KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dicabar meletak jawatan di dalam parti sekiranya usul undi tidak percaya yang mahu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berjaya.
Hal itu diusul oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerusi posting di laman Twitternya, hari ini.
"Jika undi tidak percaya berjaya, PM akan meletakkan jawatan. Jika tidak berjaya, WA (Dr Wan Azizah), LGE (Lim Guan Eng) dan LKS (Lim Kit Siang) mesti mengambil penuh tanggungjawab dan meletakkan jawatan dalam parti mereka.
"Jika WA, LGCE & LKS mempunyai kehormatan, mereka akan meletakkan jawatan sekiranya undi tidak percaya gagal. Ia menunjukkan mereka tidak boleh mendapat kepercayaan sebagai ahli parlimen pembangkang," katanya memetik dari laman mikro itu.
Rahman juga menyelar sikap berpura-pura pemimpin pembangkang yang merasakan reputasi mereka tidak terjejas jika usaha tersebut gagal.
Terdahulu pada Selasa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberitahu usul berkenaan tidak dapat dibentangkan pada sidang kali ini.
Tambah Pandikar, usul tersebut perlu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat yang memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum bermulanya prosiding Parlimen. -Siakapkeli.my