Kerajaan Sedang Pertimbang Untuk Mengharamkan Vape
Kuala Lumpur: Pihak kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektrik atau vape dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, keputusan berkenaan bakal dipertimbangkan kerana bagi mengelak risiko lebih buruk kepada kesihatan penggunanya.
":Perkara ini sedang diteliti dari aspek undang-undang penguatkuasaan untuk diguna pakai bagi menambah baik akta sedia ada bagi membolehkan tindakan pengharaman itu dilaksanakan."
"Kita (kementerian) jangka pelbagai akta boleh diguna pakai melalui kementerian tertentu dan kita akan pilih akta bersesuaian.
"Penggunaan vapor ini perlu dihentikan penggunaannya sebelum ia menjadi suatu masalah yang lebih besar," katanya dipetik Harian Metro.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, telah memberikan pandangan peribadinya dengan mengatakan hukum menghisap vape adalah haram kerana sama seperti rokok sebenar yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
Selain itu beberapa pendedahan oleh pakar kanser yang memberitahu tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap kanser disebabkan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.
Justeru itu, pelbagai pihak termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan vapor kerana didapati mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna. - Siakapkeli.my