Kajian Oleh Ookla Mengenai Kelajuan Internet Malaysia Tidak Tepat - Jailani
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata laporan yang dikeluarkan oleh syarikat pengendali ujian jalur lebar global, Ookla, yang menyebut kelajuan internet Malaysia lebih teruk berbanding Kemboja dan Vietnam adalah tidak tepat.
Menurut beliau, kaedah pengiraan yang digunakan oleh Ookla hanya mengambil kira purata kelajuan di setiap bandar.
"Jumlah sampel bandar yang digunakan bagi Kemboja sebagai contoh hanyalah satu bandar iaitu Phnom Penh.
"Sedangkan di Malaysia melibatkan 50 buah bandar di seluruh negara dengan kadar kelajuan yang berbeza-beza mengikut bandar bermula dengan 4 megabit per saat (Mbps) hingga 30 megabit per saat (Mbps)," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim mengenai isu itu di Dewan Rakyat.
Menurut beliau lagi, jika dibandingkan secara terus, kelajuan jalur lebar di Selangor adalah pada kelajuan 15Mbps manakal di Phnom Penh pula 10Mbps.
Laporan dari Ookla pada tahun lepas mendakwa Malaysia berada di kedudukan 124 di dunia dengan kelajuan purata 5.63Mbps, tiga kali lebih perlahan dari Vietnam iaitu 18.4Mbps. - Siakapkeli.my