Setelah perkahwinan anaknya bersama anak kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikritik, akhirnya besan Timbalan Perdana Menteri itu membuka mulut menjelaskan keadaan yang sebenarnya.
Chairul Anhar berkata hanya pihak yang mempunyai dendam peribadi sahaja yang sukar menerima penjelasan Zahid tentang majlis perkahwinan anak mereka.
Beliau memberitahu kesemua kos bagi majlis resepsi menyambut anak menantunya ditanggung oleh dirinya sendiri tanpa sebarang bantuan daripada Zahid.
“Sebagai ayah, semestinya saya yang mengadakan majlis berkenaan dan membiayai sepenuhnya. Saya sejak dulu lagi adalah ahli perniagaan di Indonesia dan Malaysia, sudah tentu memiliki kawan-kawan yang cukup ramai.
“Semua tetamu yang datang baik dari Malaysia dan Indonesia, adalah jemputan saya sepenuhnya. Sekali lagi saya tegaskan, acara saya ini adalah dari pihak pengantin perempuan. Bukan acara besan saya.
“Kami pihak pengantin perempuan yang menyesuaikan dengan jadual waktu kunjungan beliau ke Jakarta kerana beliau sangat sibuk dengan tugas kenegaraan Malaysia dan tidak mahu mengambil cuti khusus untuk resepsi anak.
“Saya fikir pertimbangan Datuk Seri ketika itu memang sangat bijaksana. Beliau amat sayangkan waktu untuk menjalankan tugas-tugas negara yang lebih mulia berbanding hanya majlis bersifat peribadi,” tegas beliau lagi.
Chairul yang juga seorang ahli perniagaan sekaligus membidas cakap-cakap orang bahawa majlis yang diadakan di Hotel Ritz Carlton, Jakarta pada 19 September lepas menggunakan duit rakyat.
Majlis itu juga diadakan kebetulan dengan jadual lawatan Zahid ke Indonesia atas urusan kerja,
Sebelum ini seorang blogger, Shahbudin Husin mendakwa Zahid menggunakan dana awam untuk mengadakan majlis resepsi anaknya di Jakarta.
Bagaimanapun ia ditepis oleh Zahid beberapa kali dengan menegaskan beliau tidak mengeluarkan sesen pun untuk urusan itu, sebaliknya dilakukan sepenuhnya oleh besannya. -Siakapkeli.my