UMNO Sah Lucut Keahlian Anina
PETALING JAYA: Anina Saaduddin telah dilucutkan keahliannya dari UMNO setelah sebelum ini dia memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anina merupakan ahli Pergerakan Wanita UMNO cawangan Padang Matsirat, Langkawi.
Pelucutan ini disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditanya oleh portal berita tempatan, mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pengesahan ini secara tidak langsung mengesahkan desas desus tentang pemecatan ini yang tersebar bersama satu surat pemecatan Anina.
"Adalah dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat Umno memutuskan bahawa keahlian Saudari dalam parti telah gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 20.7 Perlembagaan Umno oleh kerana tindakan Saudari membawa perkara parti ke mahkamah," menurut surat terbabit.
Sebelum ini, Anina mula mencuri perhatian ramai apabila mengkritik Perdana Menteri ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Umno. Dia kemudian memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut Najib menjelaskan secara terperinci tentang derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri itu. - Siakapkeli.my