Kajian oleh UPM Dedah Tiga Sumber Bukti Hang Tuah Bukan Kisah Dongeng
KUALA LUMPUR – Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membuktikan kisah Hang Tuah bukan dongeng semata-mata berjaya menemukan tiga sumber utama sebagai kewujudan pahlawan Melaka itu adalah satu fakta sejarah.
Tiga sumber yang dimaksudkan adalah satu dokumen dan satu artifak yang diterima dari kerajaan Ryukyu serta satu lagi dokumen dari Portugal.
Menurut Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof Emeritus Dr. Hashim Musa, dua dokumen terbabit merupakan dokumen rasmi kerajaan Ryukyu, Rekidai Hoan, yang mencatitkan hubungan kerajaan tersebut dengan Korea dan negara-negara Asia Tenggara serta pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang dikeluarkan pada 1774.
“Menurut Rekidai Hoan, hubungan antara Melaka dan Ryukyu terjalin sejak abad ke-15 dan dibuktikan dengan penghantaran 10 surat yang melibatkan kedua-dua kerajaan dan salah satu daripada surat berkenaan dihantar sendiri oleh Hang Tuah. Ini termasuklah penghantaran keris berluk sembilan sebagai tanda hubungan erat kedua-dua negara.
“Catatan Albuquerque turut menerangkan mengenai Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Sewaktu Portugis menawan Melaka, mereka cuba memujuk Hang Tuah yang ketika itu lari ke Singapura untuk berkhidmat bersama penjajah itu, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan di dalam sidang media yang diadakan semalam.
Tambah Hashim, sumber-sumber terbabit sudah cukup membuktikan bahawa Hang Tuah wujud ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Katanya lagi, kisah Hang Tuah yang tercaat dalam Albuquerque cukup jelas sehinggakan dinyatakan umur Hang Tuah iaitu sekitar 80-an ketika meninggalkan Melaka.
“Hang Tuah disifatkan sebagai Laksamana yang mempunyai reputasi baik, handal, taat, berpengetahuan, berani dan pantang berundur. Semua ciri tersebut cukup untuk melambangkan pahlawan Melayu,” katanya dalam satu laporan Utusan Malaysia.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Abdul Mua’ti yang turut hadir dalam sidang media itu pula berkata, penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang ditemui di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu pula adalah bukti kukuh terdapat hubungan yang terjalin antara Melaka dan negara itu.
“Keris tersebut dijumpai di dasar laut dan mempunyai sembilan luk yang lazimnya dihadiahkan Kesultanan Melaka kepada kerajaan lain. Ini kerana keris yang luknya kurang daripada sembilan kebiasaannya dihadiahkan kepada individu tertentu,” jelasnya. - Siakapkeli.my
Sumber : Utusan