Fizz Fairuz Tak Serik, Didakwa Cuba Goda Pelakon Baru Fara Mendoza
Pelakon Fizz Fairuz yang pernah menggemparkan dunia hiburan dengan kisah cinta kayu tiganya sebelum mengahwini pelakon Almy Nadia kini mencetuskan satu lagi kontroversi.
Dia kini dikaitkan dengan pelakon baru, Fara Mendoza yang didakwa cuba memikat menerusi aplikasi WeChat.
Memetik laporan mStar, Fara yang dikatakan tidak tahan dengan perangai Fizz bertindak mendedahkan sebahagian perbualan mereka di aplikasi berkenaan.
"Saya berkongsi perbualan itu di WeChat dengan tujuan supaya dia berhenti menganggu saya lagi. Saya tidak mahu dia terus mengumpan saya dengan tujuan untuk mengajak saya keluar.
"Dia juga ada mengambil gambar akaun bank peribadinya yang memaparkan sejumlah wang semata-mata ingin meyakinkan saya yang dia benar-benar mahu membelikan beg berjenama untuk saya dengan tujuan memikat hati saya," ujarnya.
Tidak lama selepas memuatnaik paparan perbualan berkenaan, Fara bertindak memadamkannya selepas ditegur oleh rakan artis, Emma Maembong.
"Saya muat naik sekejap sahaja di WeChat dan selepas itu kawan saya Emma Maembong hubungi saya suruh buang kerana akan menimbulkan kontroversi.
"Selepas itu saya padam gambar dan status tersebut dan saya tidak ada muat naik di mana-mana Instagram seperti yang dikatakan di dalam gosip itu," ujarnya lagi.
Kedua-dua artis berkenaan dikatakan mula mengenali satu sama lain ketika berada di lokasi penggambaran Hantu Rumah Sakit Jiwa. -Siakapkeli.my