Wartawan The Star Dilarang Memasuki MINDEF Kerana Berskirt Pendek
KUALA LUMPUR: Seorang wartawan daripada akhbar The Star telah dilarang memasuki kawasan Mindef kerana tidak mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk memasuki bangunan Kementerian Pertahanan.
Wartawan berkenaan yang hendak membuat liputan Majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2 Julai 2015lalu sebelum ini tidak dibenarkan memasuki Mindef oleh pengawal keselamatan kerana memakai skirt di atas paras lutut.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam kenyataan media menegaskan semua pihak perlu mematuhi kod etika tersebut kerana ia adalah satu peraturan dan sudah lama dikuatkuasakan.
“Dalam menguatkuasakan etika pemakaian ini, garis panduan umum mewajibkan semua pelawat untuk berpakaian sopan (baju berkolar dan berlengan, seluar panjang dan skirt di bawah paras lutut) serta tidak mendedahkan tubuh atau menjolok mata.
“Sekiranya pelawat didapati tidak mematuhi kod etika pemakaian yang sudah ditetapkan, pelawat tidak akan dibenarkan masuk untuk berurusan,” kata kenyataan itu hari ini.
Berikutan pakaian wartawan berkenaan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan maka petugas di kaunter Balai Pengawal Kementerian Pertahanan cuma menjalankan tugas seperti yang diarahkan.
“Malahan gambar tentang tatacara pemakaian pelawat ke Kementerian Pertahanan juga ada dipamerkan di Balai Pengawal tersebut,”
“Justeru, dalam melaksanakan peraturan sedia ada, Kementerian Pertahanan memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi media untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.
The Star telah mengesahkan wartawannya, Tashny Sukumaran telah menjadi individu terbaru melibatkan kontroversi kod pakaian di premis kerajaan. - Siakapkeli.my